Ahad, 8 September 2013

Krisis dalaman PKR kerana asalnya dari Umno, kata penganalisis politik

OLEH MOHD FARHAN DARWIS


















Krisis kepimpinan yang berlaku dalam parti pembangkang diketuai Datin Seri Wan Azizah Ismail dilihat sebagai cerminan kepada sifat Umno, kata penganalisis politik tanah air, ekoran majoriti pemimpin PKR adalah serpihan daripada parti tunjang Melayu tersebut.

Kebanyakan pemerhati politik tanah air berpendapat, krisis terbuka antara Timbalan Presiden Azmin Ali dan juga Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menunjukkan berlakunya konflik antara kepentingan parti dan kepentingan individu kepimpinan, yang mana dapat dilihat dalam Umno pada suatu ketika dahulu.

Bukan lagi krisis terpencil, Azmin sebelum ini secara terbuka mengkritik kepimpinan parti yang dilabel "parti keluarga" itu dengan Wan Azizah sebagai Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ketua Umum, dan anak mereka Nurul Izzah Anwar (gambar) sebagai Naib Presiden.

 Malahan, terdapat juga ura-ura Azmin akan menentang Wan Azizah dalam pemilihan parti berkenaan yang dijangka berlangsung tahun hadapan.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia, Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berpendapat, meskipun pertandingan merebut jawatan parti itu normal, namun PKR perlu membuktikan sikap keterbukaan sekiranya Azmin benar-benar bertanding menentang Wan Azizah dalam pemilihan akan datang.

"Kita tahu berlakunya krisis antara Azmin dan Khalid, dan juga Wan Azizah... namun kita tak tahu berapa serius krisis ataupun keretakan itu," katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

"PKR adalah parti serpihan Umno, dan Umno suatu ketika pernah mengalami insiden sama sehingga mengakibatkan perpecahan, namun bagi PKR kita sedar krisis telah berlarutan sejak sekian lama," katanya.

Selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) Azmin dilihat lantang dalam menyuarakan kenyataan keras, terutamanya ketika pelantikan Khalid sebagai menteri besar Selangor.

Dalam laman mikro Twitter miliknya, Azmin pernah dilaporkan berkata,"rakyat letih dengan asakan politik melampau. Terima hukuman, muhasabah diri, akui kelemahan, maju ke hadapan, tumpu rakyat bukan kerabat."

Kenyataan itu kemudiannya menerima liputan meluas media, yang menunjukkan krisis dalaman PKR semakin meruncing sehingga sampai ke tahap terbuka.

"Jika benar Azmin bertanding, PKR perlu mengalu-alukannya," kata Azizuddin, dan menambah ia adalah bukti jelas sekiranya PKR melaksanakan prinsip demokrasi seperti dilaungkan mereka.

Sementara itu, Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed, pensyarah di UUM, berkata  keretakan yang berlaku dalam PKR bukanlah perkara mengejutkan kerana parti itu mirip kepada "abang" politik mereka Umno.

"Memang ada budaya Umno... mereka datang daripada Umno," katanya kepada The Malaysian Insider.

Jelasnya lagi, pertandingan adalah lumrah, namun dengan aspirasi individu berbeza dari parti ia bakal menghancurkan parti.

"Jika mereka tidak menerima jawatan tertentu, mereka akan kejar," katanya, dan menambah jika Azmin bertanding menentang Wan Azizah, Anwar akan tertekan untuk menyebelahi isteri ataupun anak didiknya.

Perkara itu bagaimanapun disanggah Prof Madya Shaharuddin Badaruddin yang menganggap pertandingan dalam parti tidak boleh dianggap sebagai perpecahan kerana ia adalah lumrah dalam politik.

"Jika pertandingan membawa perpecahan umpama Umno dulu, dengan wujudnya parti Semangat 46, itu dikira perpecahan... namun setakat pertandingan, itu lumrah," katanya.

Beliau melihat perkara seumpama itu adalah kelaziman perbezaan pendapat dan "tegur-menegur" berlaku menjelang pemilihan parti.

"Ia berlaku dalam semua parti... tidak semestinya parti mengetuai kerajaan atau sebaliknya," katanya kepada The Malaysian Insider.

"Ia normal, Kalau ada persaingn kepimpinan pasti ada pertelagahan ideologi, nak urus parti macam mana... Ia bukan perpecahan," katanya lagi.

Tiada ulasan: