Isnin, 23 September 2013

DAP kecam tuduhan David Dass tidak masuk akal

gobind special congress
gobind mug 

KUALA LUMPUR: Ketua Biro Undang-Undang DAP, Gobind Singh Deo mengecam tindakan bekas ahli DAP, David Dass yang mendakwa Kongres Khas pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang bakal diadakan 29 September adalah tidak sah dan bertentangan dengan perlembagaan parti.

Menurut Gobind, dakwaan itu jelas tidak masuk akal sama sekali kerana ia terkandung dalam Jadual Pertama Peraturan Mesyuarat Perlembagaan DAP.

“Dengan hormatnya, DAP ingin menyatakan bahawa terdapat peruntukan yang jelas dalam perlembagaan parti dan terbukti pihak kongres khas boleh digunakan untuk memilih CEC baru.

“Perkara ini terkandung dalam Jadual Pertama: Peraturan-Peraturan Tetap Kongres/Persidangan di bawah Perkara Pengundian 46 yang memperuntukkan bahawa ‘dalam kes Kongres Khas Parti yang diadakan untuk memilih CEC baru, Peraturan 43, 44 dan 45 hendaklah dikuatkuasakan ‘mutatis mutandis’ (dengan mengubah perkara yang perlu diubah).

“Kami juga berpendapat tindakan Dass memfailkan saman terhadap DAP adalah bertentangan dengan Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 yang tidak termasuk interpretasi mahkamah mengenai perlembagaan parti-parti politik,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP, hari ini.

Ahli Parlimen DAP Puchong itu juga menyatakan, DAP telah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman dan permohonan injuksi David Dass.

“Kami telah memfailkan permohonan untuk membatalkan saman dan permohonan injuksi David Dass. Bukti dan semua notis yang perlu untuk melawan dakwaan itu sudah dikemukakan.

“Kedua-dua perkara ini telah ditetapkan untuk proses pendengaran di hadapan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 September 2013 ini. Kami berharap mahkamah akan membuat keputusan yang jelas,” ujarnya.

Pada 10 September lalu, David Dass memfailkan permohonan injunksi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menghalang pemilihan khas CEC.

Dass menuduh pemilihan CEC pada Kongres Khas adalah bertentangan dengan perlembagaan parti sepertimana termaktub dalam Perkara 5(d) Fasal Lapan Kongres Parti menyatakan ‘memilih satu Jawatankuasa Tertinggi Pusat yang terdiri daripada 20 orang’.

Dalam pada itu, Gobind turut menyelar tindakan penuh muslihat Pendaftar Pertubuhan (ROS) yang menggesa DAP mengemukakan bukti berhubung pemilihan lalu.

“Tindakan ROS ini amat tidak bertanggungjawab, apakah setelah anda menghukum seseorang dan setelah dihukum baru meminta bukti tidak bersalah?

“ROS seharusnya menjalankan siasatan terlebih dulu sebelum menjatuhkan hukuman. Dengan semua kuasa dan tenaga kerja serta masa yang mereka ambil, mengapa tidak mereka mengesahkan dahulu dakwaan terhadap kami (DAP).

“Kami sudah beri penjelasan dan mengemukakan semua bukti. Kami tidak mempunyai masalah untuk beri kerjasama penuh, tapi mengapa ROS tidak membuat sebarang siasatan? Jika tidak, ROS harus menerima hakikat bahawa dakwaan dan serangan mereka langsung tidak berasas,” tegasnya.

Akhbar The Star semalam melaporkan ROS masih menunggu surat daripada 500 perwakilan untuk memperincikan mengapa mereka tidak dapat menghadiri pemilihan parti dan kongres 15 Disember tahun lalu. Seorang jurucakap ROS berkata DAP masih tidak mengemukakan surat dan notis kepada mereka. -Roketkini.com

Tiada ulasan: