Selasa, 10 September 2013

BN masih sisihkan Sabah

Oleh Noor Jaafar

noor sabah 


LAWATAN 24 kakitangan Ibu Pejabat DAP, termasuk empat wartawan Roketkini.com selama tujuh hari ke Sabah boleh dikatakan mencapai matlamat dan berjaya sekurang-kurangnya mengetahui sedikit sebanyak situasi sebenar di Negeri Bawah Bayu itu yang sedang menyambut ulang tahun 50 tahun Sabah Maju Jaya.

Jika berdasarkan hasil mahsul negeri yang kaya dengan minyak, balak dan industri pelancongan, tidak sepatutnya keadaan di Sabah masih jauh ketinggalan, termasuk tidak ada jalan raya yang lebih baik dan selesa bagi memendekkan perjalanan antara satu daerah ke daerah lain.

Walaupun Bandaraya Kota Kinabalu sedang pesat membangun dengan projek mega seperti Kompleks Pejabat Kerajaan Persekutuan, Pejabat Kerajaan Negeri dan bangunan komersil, namun penduduk di kawasan pedalaman yang mengusahakan projek pertanian masih diabaikan dan tidak ada kemudahan seperti sistem pengairan, empangan dan jalan ladang bagi memudahkan mereka mengusaha dan memasarkan hasil pertanian.

Rombongan yang diketuai Chu Yoon Ming sebaik menjejakkan kaki ke Ibu Negeri Sabah, disambut dan diraikan pemimpin DAP negeri itu, termasuk Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Jimmy Wong Sze Phin, Ahli Parlimen Sandakan, Wong Tien Fatt, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang, Edwin @ Jack Bosi dan ADUN Sri Tanjung, Chan Foong Hin.

Selain itu lawatan kakitangan DAP turut diraikan aktivis tempatan, Catherine Chu, isteri Jimmy Wong, Christina Yew; Stanley Sie dan Francis Chong.

Antara tempat yang sempat lawati ialah Pulau Gaya, Pulau Sapi, Kudat, Kota Belud, mendaki Gunung Kinabalu, Kundasang, Ranau, Sandakan, Labuk Bay, Sepilok, Lahad Datu, Kunak, Semporna, Pulau Mabul, Pulau Kepalai dan persinggahan terakhir di Tawau sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.

Kami juga sempat meninjau keadaan penduduk atas air di , serta penduduk di Pulau Mabul yang kami dimaklumkan tiada status kewarganegaraan. Itu menjadikan situasi mereka seolah-olah tergantung. 
Kerajaan Barisan Nasional membiarkan mereka tinggal di dalam negara namun ‘lepas tangan’ terhadap kebajikan mereka disebabkan status kewarganegaraan mereka.

Walaupun masa lawatan ke Sabah itu padat dengan program, kepenatan peserta sekurang-kurangnya terubat apabila diberi peluang snorkeling untuk melihat keindahan di dasar laut dan kecantikan batu karang.

sabah 

Sepanjang lawatan itu juga rombongan dijamukan dengan hidangan makan laut yang segar, seperti udang, ketam, ikan, sotong, siput dan rumpai laut termasuk di pusat makanan laut terkemuka di Kampung Sim Sim, Sandakan dan di bandar Semporna.

Saya yang pertama kali ke Sabah, permulaannya membayangkan Sabah sudah maju meninggalkan banyak negeri di Semenanjung kerana Negeri Di Bawah Bayu itu terkenal kaya dengan hasil bumi, termasuk petroleum, balak dan produk pelancongan dan hasil laut.

Bagaimanapun, berdasarkan taklimat yang disampaikan Catherine Chu, terbukti rakyat di Sabah terutama di Kampung Tambotuon, Kota Belud masih dipinggir dan tidak mendapat pembelaan kerajaan Barisan Nasional (BN) walaupun setiap kali pilihan raya umum rakyat dijanjikan dengan pelbagai kemudahan.

Ini membuktikan pemimpin BN lebih mementingkan kemewahan hidup dan mengamalkan korupsi, sedangkan penduduk di pedalaman Sabah tidak disediakan kemudahan pertanian, termasuk sistem pengairan sawah yang baik dan jalan untuk membawa keluar hasil pertanian.

Janji BN untuk membina Lebuh Raya Pan Borneo juga masih tidak dikotakan, sebaliknya kekal dengan jalan satu lorong yang membosankan hingga mengambil masa berjam-jam untuk sampai ke satu-satu destinasi walaupun jarak perjalanan hanya 100 kilometer.

Bukan setakat pembangunan luar bandar, rakyat tempatan Sabah juga dihantui ramai pendatang tanpa izin sehingga wujud perkampungan khas mereka yang gagal diambil tindakan oleh pihak berkuasa, termasuk yang sudah mendapatkan kerakyatan.

Berdasarkan tinjauan kebanyakan rakyat Sabah dilihat menyesal kerana kekal memilih BN memerintah negeri itu yang didakwa banyak melakukan rasuah dan mengambil kesempatan mengaut kekayaan.

kinabalu sabah 

Ramai yang menjangka BN Sabah bakal tewas pada PRU-13 lalu, tetapi disebabkan rakyat Sabah ditakutkan dengan isu pergolakan di Lahad Datu, BN masih kekal menerajui negeri itu.

Bagaimanapun mereka sudah bertekad akan melakukan perubahan pada PRU-14 nanti kerana BN gagal mengotakan janji kepada rakyat Sabah.

Selain Kota Kinabalu, Semporna dilihat menyerlah sedikit kemajuannya berbanding bandar lain di Sabah, termasuk Kinabatangan yang diterajui Datuk Bung Mokhtar Radin dan Kota Belud oleh Datuk Abdul Rahman Dahlan yang dilihat begitu ketara ketinggalan seolah-olah Ahli Parlimen kawasan berkenaan tidak mempedulikan pembangunan di kawasan masing-masing.

Ramai terkedu apabila melihat kepayahan hidup petani di Sabah yang terpaksa memikul baja dan hasil pertanian berbatu-batu jauhnya untuk membajai tanaman dan memasarkan hasil kerana tidak mempunyai jalan dan jambatan, sebaliknya mengharungi sungai dan meredah hutan untuk berulang alik ke sawah.-Roketkini.com

Tiada ulasan: