Oleh Izmil Amri
YA,
berapa nilai Melayu dalam DAP? Lebih spesifik, berapa nilai politisi
Melayu dalam DAP? Sekupang, dua kupang, atau lima kupang? Atau adakah
lebih daripada itu? Siapa yang menentukan nilai; dan kalau pun nilai itu
boleh ditentukan, bagaimana caranya?
Untung sebenarnya DAP ditakdirkan untuk mengadakan
pemilihan semula. Dengan kemenangan besar DAP sebagai sebahagian
daripada koalisi Pakatan Rakyat pada PRU-13, 5 Mei lalu, pastilah ramai
personaliti yang ingin menyendeng dan bermesra dengan parti ini.
Parti
yang sebelum PRU-13 dilihat sebagai sebuah parti Cina dan tidak begitu
mesra Melayu.
Dengan kemenangan tiga wakil rakyat Melayu pada PRU agak
susah untuk musuh-musuh politik DAP menggunakan hujah ‘parti Cina’.
Arakian maka semakin galaklah sekalian Melayu untuk kian mampir dan
mengikut serta dalam perjuangan DAP.
Ini adalah perkembangan yang amat sihat dan membanggakan.
Jenuh sungguh parti itu berusaha bagi menarik minat Melayu menyertai
parti serta menjenamakan DAP sebagai sebuah parti berbilang kaum.
Penyertaan kian ramai orang Melayu ke dalam DAP kini sudah bukan lagi
bahan berita. Sudah jadi perkara biasa.
Namun asas pergelutan politik adalah perlumbaan untuk
mendapatkan kuasa. Ini benda yang mesti kita semua faham dan mengerti.
Maka realpolitik dalam nyata politik struktur adalah keadaan wujudnya
pertembungan yang mendesak perlawanan dan penilaian; siapa yang lebih
layak serta siapa korbannya lebih.
Sekali lagi, ini asas mudah. Seperti mana anda juga tahu
bahawa kalau mahu jadi calon pilihan raya; syaratnya mesti punya
kelayakan dan punya kemampuan material sedikit sebanyak. Kalau tak ada,
harus cari. Kalau tak mahu cari, jangan bertanding.
Pemimpin politik, tidak kira apa pun pembawakannya secara
sekali pandang; harus punya kemampuan menjadi pemimpin. Kemampuan inilah
yang memberi nilai kepada individu.
Untuk mendaki tangga politik struktur, harus ada nilai
tambah. Ini juga asas. Kerana politik struktur ertinya bergelut mendaki
tingkatan kuasa dan pengaruh. Kalau anda tidak ada nilai tambah, apa
yang membezakan anda dengan orang lain yang juga seperti anda –
mempunyai cita-cita politik.
Asas ini adalah terlalu fundamental untuk disyarahkan
panjang lebar. Murid sekolah rendah juga tahu bahawa kalau dia tidak
punya sifat kepemimpinan mahupun kemampuan intelek yang tinggi; dia
tidak mungkin jadi ketua darjah misalnya. Mahu jadi pengawas sekolah
atau ketua pelajar apatah lagi. Maka perlu ada muhasabah diri dan
tentukan apa yang hebatnya kita ini sebelum mahu terjun sama bergulat
dalam gelanggang perebutan kuasa dalam parti politik.
Berapa nilai pemimpin Melayu dalam DAP?
Soalan ini saya ulang kerana sebenarnya soalan ini bodoh.
Parti Tindakan Demokratik secara nyatanya adalah parti yang
buta warna. Itu maksudnya ia tidak peduli anda kaum apa. Borang
keahlian parti juga tidak bertanya anda kaum apa.
Untuk mempersoalkan nilai individu dalam sebuah parti buta
warna dengan berasaskan penilaian kaum adalah kerja yang bukan sahaja
bodoh, malah jahat. Persoalan sedemikian adalah strategi politik nakal
untuk menimbulkan anasir politik perkauman dalam sebuah parti yang tidak
peduli kaum.
Biarlah apa pun yang dipropagandakan kepada anda melalui
media tradisional; kita semua tahu bahawa DAP bukan parti satu kaum, dan
ia tidak memandang soal kaum. DAP menilai pemimpin dan anggotanya
berdasarkan apa kerja yang dilakukan untuk parti. Seperti juga mana-mana
parti politik lain.
United Malays National Organisation sebagai contoh, tidak
peduli pun latar belakang kaum anda asalkan anda buat kerja untuk
partinya. Mamak, Melayu, Cina-Muslim; semua Melayu belaka bila berpayung
di bawah UMNO.
Kalau pun anda Melayu berdarah bangsawan yang masuk UMNO
tapi tak ada nilai tambahan atau kemampuan menyumbang serta tidak buat
kerja; UMNO si parti Melayu itu pun tidak akan memandang anda dengan
nilai tinggi.
Kalau anda punya cita-cita politik tetapi strategi dan
operasi politik anda gagal serta nampak sangat macam anda tidak buat
kerja, masuklah parti mana pun anda tetap bernilai ‘lima kupang’. Malah
barangkali lebih rendah daripada itu.
Biar apa pun keturunan anda, apabila masuk sahaja DAP, anda
seorang yang berbangsa Malaysia. Kalau sekadar dengan menjadi Melayu
maka rasa nilai anda tinggi dan punya hak berbeza dalam parti (hanya
kerana ke’Melayu’an itu) maka lebih baiklah balik rumah, tarik selimut
dan tidur. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan