Sabtu, 24 Ogos 2013

Mendepani radikal perkauman dan cabaran negara bangsa


BERPEGANG pada kata-kata ayahnya, “Setiap orang harus menganggap dirinya sebagai rakyat Malaysia terlebih dahulu, mendahului suku keturunan…”, Justeru itu, sosok Kasthuri Rani Patto meneruskan legasi perjuangan mendiang ayahnya yang lantang dan berjiwa Malaysia.

Beliau tidak kekok berbahasa kebangsaan, Kasthuri adalah seorang yang mudah didekati, santun bicaranya dan sangat prihatin memperjuangkan suara lingkungan masyarakat sekitar. Ikuti wawancara eksklusif wartawan Roketkini.com, Hafiz Zainuddin menyelak pandangan beliau terhadap latar belakang, isu semasa dan pelbagai caca-marba politik yang membelenggu rakyat dan negara. Foto oleh Wira Andika

Nama: Kasthuri Rani a/p Patto
Umur: 34 tahun
Pendidikan: Jurusan Mikrobiologi Universiti Malaya (UM) pada 1999
Jawatan: Ahli Parlimen DAP Batu Kawan

Pengalaman kerjaya: Penyelidik di Pejabat EXCO Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan pada 2008, Setiausaha Politik Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang pada 2010.

Kenapa saudari berpolitik dan siapa idola saudari?

Saya perlu mengucapkan syukur dan terima kasih kepada kedua ibu bapa saya yang mengasuh saya hingga ke peringkat sekarang. Walaupun ayah saya tidak lagi berada di sisi, semangat perjuangan beliau terus mengalir dalam diri saya. Saya mahu teruskan perjuangan mendiang ayah saya P. Patto.

Minat saya kepada politik tercetus sekitar tahun 1999 era reformasi tetapi masa itu saya tidak terfikir untuk menceburi bidang politik seperti sekarang. Pada masa yang sama ketika itu saya masih belajar di Universiti Malaya. Saya mula terdetik untuk menceburi politik setelah tercetusnya tsunami politik 2008.

kasthuri 1 

Semakin kerap puak radikal memainkan sentimen perkauman dan agama seolah-olah mendapat restu kerajaan. Apa pandangan saudari mengenai hal itu?

Pertamanya masyarakat dapat lihat ianya satu proses yang digembar-gembur dan diperbesarkan dan tidak normal walhal kita sendiri tahu isu sebenar yang dihadapi negara. Keduanya ia membuktikan Kerajaan Persekutuan yang diterajui Barisan Nasional (BN) gagal menangani isu sebegini walaupun sudah berpuluh tahun negara mencapai kemerdekaan. Samada mereka sengaja membiarkan, kita pun tidak mahu membuat andaian. Rakyat boleh menilai sendiri.

Apa pun, perkara itu tidak boleh dibiarkan berlarutan. Isu kaum, agama sudah macam isu evergreen. Seolah-olah masyarakat kita masih kebudak-budakan, tidak matang. Atau persoalannya, adakah mereka sengaja memperdayakan masyarakat untuk menjadi tidak matang?

Isu perkauman yang diperbesarkan itu menunjukkan seperti kerajaan mahu menutup isu terbesar yang melanda negara seperti jenayah yang semakin berleluasa, gejala rasuah dan salah guna kuasa yang berterusan, beban kerja kakitangan awam seperti guru yang tidak wajar, isu kemiskinan bandar atau luar bandar yang gagal diselesaikan, isu alam sekitar yang mengancam nyawa dan masa depan negara dan pelbagai lagi.

Kalau kerajaan benar-benar ikhlas, mereka wajar ambil tindakan terhadap kumpulan atau puak radikal yang membakar sentimen perkauman itu dan beri fokus kepada masalah utama negara kerana kalau kita ambil contoh masalah kemiskinan misalnya, ia akan membawa kepada masalah pengabaian pendidikan yang kemudiannya mengakibatkan masalah jenayah seterusnya membentuk sekumpulan masyarakat yang mungkin dipinggirkan.

kasthuri 5 

Jadi, apa tugas kita?

Sudah sampai masanya kita bergerak ke hadapan. Jangan jadikan isu perkauman sebagai penghadang untuk kita maju sebagai sebuah negara bangsa yang unggul. Kita dan masyarakat harus sedar bahawa politik berasaskan kaum perlu dihentikan sebab ia makin menjarakkan kita untuk menghargai satu sama lain.

Kami mengutuk sekeras-kerasnya sebarang tindakan pihak yang memainkan isu perkauman atau agama demi kepentingan mereka. Kita dapat lihat, mereka mainkan isu perkauman ini seperti mahu kerajaan BN sekarang terus kekal berkuasa. Ya. Kita dapat lihat bagaimana BN seolah-olah memberi perlindungan kepada puak radikal itu.

Adakah perpecahan kaum merupakan matlamat terbesar kita menjelang 2020 nanti? Bayangkan, pada 2020 hanya sekitar tujuh tahun sahaja lagi dan mereka terus-menerus memomokkan masyarakat dengan perkauman. Ini tidak betul.

2020 tanpa perkauman. Apa pandangan saudari untuk membina sebuah Malaysia yang diidam-idamkan yang bukan sekadar mempunyai teknologi hebat atau bangunan tinggi

Kita perlu pupuk rasa kebersamaan. Perbezaan kita di Malaysia perlu menjadi kayu pengukur untuk lebih bersatu iaitu mengalu-alukan, merayakan perbezaan yang ada. Malaysia sebuah negara yang sangat unik. Mengapa pula perbezaan harus menjadi sebab kita berpecah?

Sebagai rakyat, sebagai anak Malaysia, kita mesti mempunyai satu rasa bahawa negara ini milik kita bersama, inilah tanah tumpah darah kita, inilah bumi tempat kita dilahirkan. Malaysia memiliki kita dan kita memiliki Malaysia.

Dengan perasaan itu, ia akan menjadikan kita sebagai warga yang bertanggungjawab, kita akan buat apa yang wajar untuk betulkan apa yang rosak. Fix what is broken, correct what is wrong. Jika kesedaran kita jelas, kita mampu melakukannya tanpa rasa takut. Rasa takut hanya akan membenarkan golongan yang tamak dan gila kuasa terus menerajui negara kita. Adakah itu yang kita semua mahukan?

Saudari kata Malaysia milik kita, kita milik Malaysia, sebagai seorang wakil rakyat muda, apa yang boleh saudari sumbangkan?

Sebagai orang muda bersama dengan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lain, kali ini saya harap dapat beri inspirasi kepada yang lain. Saya percaya bahawa perubahan tetap akan datang walaupun dengan pengorbanan yang kecil.

Pembabitan saya dalam politik merupakan satu tanggungjawab dan pengorbanan yang dilakukan. Bukan saja untuk generasi masa ini tetapi juga generasi masa depan. Kita mahu generasi muda menuntut kembali hak mereka yang diabaikan. Saya akan perjuangkan kepentingan bersama.

kasthuri 6 

Untuk perjuangkan masalah rakyat saudari perlu lantang dan masalah kita di Malaysia, masih ada di kalangan wakil rakyat lelaki tipikal yang memandang remeh kebolehan wanita

Ya. Saya akui memang masih ada yang bersikap sedemikian. Tetapi perkara yang harus diingat ialah suara wanita dalam Parlimen semakin bertambah. Kalau dulu mungkin wakil rakyat wanita terpaksa bersaing sengit dengan wakil rakyat lelaki tetapi sekarang berbeza.

Golongan wanita semakin dilihat sebagai penggerak masyarakat malah menjadi penggerak massa rakyat seperti Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga, Maria Chin Abdullah dan ramai lagi.

Dalam politik, kita ada suara lantang seperti Ahli Parlimen DAP Seputeh, Teresa Kok, Ahli Parlimen DAP Skudai, Teo Nie Ching, Ahli Parlimen PAS Rantau Panjang, Siti Zailah, kita ada Nurul Izzah Anwar, Hannah Yeoh, Chong Eng, Dr Siti Mariah dan ramai lagi samada di Dewan Rakyat atau DUN. Jadi di sini kita dapat lihat dengan jelas wanita semakin mendapat tempat dan diberi tanggungjawab yang lebih besar terutama dalam Pakatan Rakyat.

Jadi bila kita lihat peluang untuk wanita diketengahkan seperti sekarang, rugi jika mereka tidak mengambil peluang itu. Apa yang generasi terdahulu lakukan, benih sudah ditabur, anda boleh lihat sekarang.

Penting sangatkah wanita terbabit dalam politik kerana rasanya golongan lelaki juga mampu suarakan masalah wanita

Ya sangat penting. Kita tidak nafi itu. Tetapi wanita lebih memahami wanita. Saya tidak merendahkan mana-mana gender tetapi inilah yang perlu diberi kefahaman. Peranan wanita bukan sahaja peringkat nasional tetapi peringkat antarabangsa di mana wanita diletakkan sebagai golongan yang membuat keputusan.

kasthuri- 2 

Bagaimana pula keadaan Malaysia?

Kita tidak boleh nafikan, setelah lebih 50 tahun Malaysia berada di bawah hanya sebuah kerajaan yang memerintah seperti BN, kita lihat mereka tidak peka dan tidak menjuarai isu wanita malah sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pula yang dilantik sebagai Menteri Wanita dan ia memberi gambaran kepada masyarakat bahawa wanita itu seolah-olah tidak tahu menguruskan hal ehwalnya sendiri.

Rasanya mengapa ia berlaku begitu?

Saya rasa mereka kurang kesedaran, tidak ada niat untuk ketengahkan wanita. Cuma apa yang berlaku di Malaysia, kerajaan banyak  menghantar delegasi wanita untuk hadiri seminar, forum wanita dan sebagainya, tetapi bila pulang dan tiada apa-apa tindakan yang konkrit diambil. Ini amat memalukan.

Tetapi saya rasa bersyukur kerana selepas Pilihan Raya Umum ke-12, wanita telah memberikan impak kepada politik Malaysia dan sejarah Malaysia sendiri. Sekarang kita mempunyai lebih ramai Ahli Parlimen wanita terutamanya daripada Pakatan Rakyat dan kita dapat lihat juga pemimpin wanita yang berani dan lantang bersuara dalam pertubuhan NGO seperti Datuk Ambiga dan Maria Chin. Ini memang memberikan motivasi kepada saya terutamanya yang masih baru dalam dunia politik.-Roketkini.com

Tiada ulasan: