Selasa, 27 Ogos 2013

Sayangkan negara perlu terbit dari dalam diri, bukan setakat tempelan



Oleh Aspan Alias

Saya terbaca berita yang kempen mengibarkan Jalur Gemilang kurang medapat sambutan. Menteri yang bertanggungjawab berkata kerajaan akan melakukan cara dan kaedah yang sesuai bagaimana hendak membuatkan keseluruhan rakyat mengibarkan Jalur Gemilang itu dengan penuh semangat semasa parayaan ulang tahun kemerdekaan negara kita. 

Pengibaran Jalur Gemilang ini sudah tidak berapa mendapat perhatian orang ramai sejak empat tahun dahulu, tetapi keengganan rakyat memberi perhatian pengibaran Jalur Gemilang itu lebih nyata lagi pada tahun ini. Tidak tahulah samada pengibaran itu akan dilakukan dengan paksaan atau dengan cara apa. Tetapi pengibaran Jalur Gemilang itu sememangnya salah satu cara menzahirkan rasa sayang dan cintakan negara.


Kenapa kempen pengibaran Jalur Gemilang sejak beberapa tahun dahulu sudah pudar kemeriahannya? Segala-gala yang berlaku itu tentu ada sebabnya. Kerajaan, khususnya Menteri yang bertanggungjawab itu semestinya memahami apakah elemen-elemen yang membuatkan sambutan kempen itu mandapat sambutan atau sebaliknya.

Dalam sesuatu masalah perkara yang paling penting kita mesti selami ialah memahami masalah ‘up to specific’. Apabila masalah itu dikenal pasti secara ‘detailed’ barulah boleh mencari jalan untuk mencari penyelesaiannya dan menjayakan kempen itu. Apabila disebut tentang pengibaran Jalur Gemilang ini ia tidak boleh lari dari keriangan kita semua untuk menzahirkan rasa cintakan negara. Ia akan hanya boleh berlaku jika dengan sejujur-jujurnya rakyat merasakan cintakan negara itu.

Jika rakyat ramai benar-benar berpuas hati dan rasa cintakan negara itu benar-benar wujud, tidak perlu diadakan kempen besar-besaran. Rakyat akan dengan sendirinya mengambil kesempatan menyambut hari kemerdekaan negara itu sebagai peluang untuk menunjukkan semangat sayangkan negara itu. Kempen itu akan dengan mudah mendapat sambutan tanpa perlu tekanan dan desakan untuk mengibarkan bendera negara itu.

Rakyat tidak mahu melakukan perkara yang mereka tidak begitu ghairah untuk melakukannya. Rakyat tidak berpuas hati kerana rasa tidak menentu politik negara. Rakyat begitu keliru untuk mendapatkan yang mana satu yang betul dan benar. Semuanya mempunyai persoalan sendiri samada mereka yang sedang berkuasa dan mereka yang membangkangnya.

Secara psikologinya rakyat tidak berminat untuk menyertai apa-apa kempen, apatah lagi kempen yang dijalankan oleh pihak kerajaan. Mereka tidak mahu di kelirukan dengan kempen yang kerajaan lakukan kerana mereka tidak mahu dijadikan alat serta perkakas politik pihak yang tidak jujur. Mereka tahu yang kempen yang dilakukan oleh kerajaan untuk mengibarkan Jalur Gemilang itu telah tertempel unsur politik  selain dari menebalkan rasa kasih dan sayang kepada negara.

Sesungguhnya kejayaan kempen ini bergantung kepada pihak mana yang menganjurkannya. Jika ia masih dilakukan oleh kerajaan tunjangan UMNO, ia tetap sarat dengan unsur politik dan tidak ada kena mengena dengan sayangkan negara.

Rakyat tidak mahu menerima usaha UMNO yang sayangkan negara itu hanya akan boleh berjaya jika ia anjuran UMNO. Bagi pimpinan UMNO jika sayangkan negara rakyat perlu sayangkan UMNO. Jika ia dilakukan oleh pihak yang lain sedalam mana pun kasih dan cintakan negara itu tidak akan diterima. Ia dianggap sebagi penderhaka kepada negara. Menyokong pihak pembangkang itu adalah penderhakaan kepada negara.

Tetapi sebenarnya usaha setengah pihak untuk melakukan tentangan terhadap apa yang dibuat oleh kerajaan UMNO pada hari ini ialah kerana sayangkan negara. Mereka tidak mahu lagi melihat UMNO dan setengah pihak dalam pembangkang sekali pun, menjahannamkan negara. Mereka mahukan perubahan yang sejati bukannya memenangi satu pihak keatas satu pihak yang lain.

Kalau UMNO itu sudah busuk sebagai mana yang diakui oleh Dr Mahathir itu, ada pemimpin yang sedang bertenggek keatas parti pembangkang itu tidak boleh dijadikan pilihan untuk menjadi Perdana Menteri kerana mempunyai masalah yang tidak boleh diterima jika kita serius mahukan pimpinan yang bermoral dan akur kepada kehendak syariat agama kita. Maksud saya kita mahukan mereka yang bermoral dan kita terpaksa mencarinya kerana kita bukanlah orang yang boleh menjadi gantian kepada yang ada pada hari ini.

Mereka lebih cintakan negara dari mereka yang mengibarkan bendera kerana tuntutan politik peribadi atau kepartian mereka. Malahan mereka yang tidak mengibarkan bendera itu lebih sayangkan negara kerana mereka tidak menempelkan dan menunjuk-nunjuk sayangkan negara. Kasih dan sayang mereka sudah terpahat dilubuk hati dan sanubari mereka dan tidak berpura-pura sayangkan negara dengan mengibarkan bendera dipagar rumah atau dipejabat atau melekatkan bendera kepada kenderaan yang kita pandu.

Seperti orang yang kasih dan mengtauhidkan Tuhan, mereka bukan semata-mata menegakkan solat yang wajib (disyariatkan) itu tetapi mereka sentiasa berzikir dan bertahmid di dalam hati mereka mengesakan Tuhan dan membersihkan diri kita yang sebenar-benar diri itu. Zikir itu tidak diketahui oleh orang awam atau mereka yang semata-mata mentarbiah syariat tetapi tauhid mereka lebih suci dari apa yang kita lihat dalam kerja tubuh kita (Syariat).

Begitu juga mereka yang setia kepada negara. Mereka yang menunjuk-nunjuk sayang dan cintakan negara itu tidak sesuci mereka yang telah meletakkan negara sampai ke naluri mereka. Mereka ini sebenarnya tidak memerlukan lakonan mengibarkan bendera-bendera ini kerana apa yang ada di dalam dirinya itu lebih lagi kuat dari mereka yang hanya menempelkan rasa sayang kepada negara diluaran semata-mata.

Untuk menunjukkan setia kepada negara secara luaran itu maka keadaan luaran itu juga perlu memberi minat kepada mereka untuk memberikan sokongan dengan mengibarkan Jalur Gemilang itu.

Tetapi keadaan luaran politik tanah air itu tidak memberikan mereka semangat untuk mengibarkan Jalur Gemilang itu lah yang menyebabkan kegagalan pihak penganjur, iaitu kerajaan untuk menyemarakkan kempen mengibarkan bendera negara yang berdaulat ini.

Mereka yang menganjurkan kempen itu pun masih dipersoalkan kesetiaan mereka kepada negara, bagaimana rakyat ramai hendak mengikutnya? Ada dikalangan mereka yang menganjurkan itu adalah mereka yang mendustakan negara dengan perlakuan rasuah dan salah guna yang tidak sepatutnya berlaku sebagai sebuah kerajaan yang mengaku sebagai kerajaan yang berwibawa.

Bagaimana seorang atau kumpulan yang rasuah itu berkempen untuk kita menyayangi negara sedangkan perlakuan dan tindakan mereka itu selalu bertentangan dan yang di benci negara?
http://aspanaliasnet.blogspot.com/

Tiada ulasan: