Sabtu, 31 Ogos 2013

Selamatkah tiga naib presiden ini?


Oleh Yusuf Harun

KEMPEN untuk semua jawatan yang dipertandingkan dalam Perhimpunan Agung Umno pada 19 Oktober nanti dilihat baru masuk gear satu - tidak seperti jawatan presiden dan timbalan presiden yang berkemungkinan menggunakan gear automatik.

Justeru belum tahu lagi siapa bakal menentang siapa. Namun, tentu sekali perang kecil-kecilan Umno sudah pun bermula.

Di tempat-tempat lain, hampir separuh daripada 20,000 cawangan dari 191 bahagian telah menjadi medan pertempuran pemimpin peringkat cawangan.

Petanda yang memberikan alamat dan gambaran awal, sama ada ketua-ketua baru bakal mengetuai bahagian tertentu ataupun berlaku status quo sudah dapat dinilai berasaskan pemilihan di peringkat cawangan.

Dalam pada itu berita panas mula kedengaran di sana sini. Dalam perkampungan Wanita Umno misalnya, sudah bertiup khabar mengatakan Shahrizat Abd Jalil, penyandang jawatan Ketua Wanita Umno bakal disaingi Azalina Osman Said, mantan Ketua Puteri Umno.

Pendedahan Mashitah Ibrahim, bekas timbalan menteri kini Ketua Wanita Umno bahagian Baling yang mendakwa ada pihak “menaja” calon menentangnya merupakan petanda awal akan berlakunya persaingan sengit untuk jawatan tersebut.

Khabar angin seperti ini mungkin benar atau mungkin tidak. Ia berlaku di mana-mana dan melibatkan semua jawatan penting dalam Umno.

Taja menaja dengan tujuan menjatuhkan seseorang bagi menggantikan dengan calon pilihannya merupakan budaya yang kian sebati dalam Umno dan semakin tampak sukar dihapuskan.

Di peringkat Pemuda pula bahangnya lebih panas dan hebat apabila ketua-ketua bahagian ikut menyokong calon masing-masing.

Cerita amalan penularan nepotisme dalam pemilihan kali ini bukan perkara baru. Tapi inilah demokrasi dalam amalan Umno.

Si ayah yang kebetulan ketua bahagian menggunakan kedudukan menentukan ketua pemuda atau ketua wanita. Ini seperti mengujudkan dinasti dalam Umno bahagian berkenaan.

Salah satu cadangan yang menarik perhatian kita ialah memberi kuasa pada Presiden Umno melantik tiga naib presiden berbanding ia dipilih pada masa sekarang.

Dalam pemilihan tempoh hari seramai 2,500 perwakilan menentukan siapa yang nak dipilih ke jawatan itu tetapi sekarang perwakilan berjumlah 146,500 orang. Tentulah semakin sukar bagi mana-mana calon.

Cadangan itu bunyinya ideal kerana ia boleh mengurangkan politicking di kalangan para pemimpin tapi soalnya apakah ia sesuatu yang praktikal.

Sebab akhirnya ia akan membunuh semangat demokrasi itu sendiri. Umno merupakan parti paling demokratik setakat ini bakal hilang identiti jika presiden menentukan  tiga naib presiden.

Pada masa kini tiga naib presiden, Zahid Hamidi, Hishamuddin Hussein dan Shafie Apdal dilihat sudah lulus ujian.

Sementara Zahid dan Hishamuddin merupakan bekas Ketua Pergerakan Pemuda, Shafie juga lahir dari kilang yang sama mewakili Sabah.

Walaupun Zahid kini dilihat menikmati mileage politik melalui agenda membanteras jenayah berat sebaik dilantik Menteri Dalam Negeri serta publisiti yang dinikmati beliau menerusi usaha tersebut, Hishamuddin tidak kurang hebatnya.

Mereka sudah memperlihatkan rekod kerja yang cemerlang. Dengarnya PM Najib Razak berpuas hati dengan prestasi kerja ketiga-tiganya.

Setakat ini Isa Samad sudah mengumumkan hasrat bertanding menyaingi tiga naib presiden ini. Lain-lain calon termasuk Ali Rustam masih berteka teki. Nampak gaya Isa pun masih memegang angan-angan nak jadi PM atau TPM?

Selain Ali ialah Mukhrij Mahathir, MB Kedah. Berita panas mengenai Mukhrij turut mengintai jawatan ini jadi bahan spekulasi dalam media internet.

Sementara kedudukan naib ketua sayap pemuda menjadi teka teki dan bualan, kedudukan Khairy Jamaluddin sebagai ketuanya semakin mantap. Pada peringkat ini KJ tidak hadapi  masalah pertahan kerusi berkenaan.

Bagaimanapun, kita harus akur prestasi seseorang pemimpin Umno juga dinilai oleh rakyat di luar Umno. Sementara mereka tidak memiliki hak mengundi di perhimpunan, mereka tetap berhak untuk bersuara.

Dan sementara Najib berpuas hati dengan prestasi mereka yang dikatakan itu, belum tentu rakyat boleh menerima.

Barangkali sudah sampai masanya Najib perlu mengambil nota tentang perkara ini dan mengambil langkah bersesuaian. Ramai melihat, kejayaan transformasi ekonomi dan pentadbiran negara yang diusahakan oleh PM hanya akan tercapai sekiranya Umno bersedia mengubah set mental, pendekatan dan transformasi pemilihan kepimpinannya.

Tiada ulasan: