Jumaat, 30 Ogos 2013

Nahas Jalan Raya : 3 Anggota Polis Maut

Radhi Razak

alt
 
BELURAN  - Lima orang termasuk tiga anggota polis terbunuh dalam nahas jalan raya di kilometer 53 Jalan Beluran-Telupid pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Beluran DSP Sivanathan Velautham berkata, kemalangan berlaku kira-kira 4.50 petang apabila kereta dinaiki empat anggota polis itu bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda dinaiki seorang lelaki dan empat perempuan.

"Kesemua mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat mereka dihantar ke Hospital Beluran untuk dibedah siasat," katanya kepada Bernama di sini semalam.

Beliau menjelaskan, tiga anggota polis yang maut dikenali sebagai Kpl Saudi Meting, 48, Kpl Hedzrin Ginan, 36, dan Lans Kpl Khairul Firdaus Abrahim, 25.

Katanya, seorang lagi mangsa, Konstabel Mohd Zaini Mohd Razwan, 28, cedera parah dan dihantar menerima rawatan di Hospital Beluran sebelum dipindahkan ke Hospital Duchess of Kent Sandakan untuk rawatan lanjut.

Saudi dan Hedzrin merupakan anggota polis trafik, manakala Khairul dan Mohd Zaini bertugas di cawangan Unit Peronda.

Sivanathan turut berkata, dua penumpang kenderaan pacuan empat roda itu turut maut iaitu dua adik beradik perempuan dikenali sebagai Masiah Jailani, 47, dan adiknya Layni, 45.

Lelaki memandu kereta berkenaan Arry Ak Gani, 24, mengalami cedera parah, manakala dua lagi perempuan yang menaiki kereta sama iaitu Imawati Siru, 20, dan Regnawati Siru, 22, cedera ringan.

Sivanathan berkata insiden berlaku ketika anggota polis berkenaan dalam perjalanan balik ke Beluran selepas melakukan tugas di Telupid.

Tiada ulasan: