Jumaat, 30 Ogos 2013

PKR akan heret Syabas ke Tribunal Pengguna

OLEH MD IZWAN

















Susulan gangguan air terbaru sekitar Lembah Klang minggu ini, PKR mengambil langkah untuk mengheret Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) ke Tribunal Pengguna, kata Rafizi Ramli (gambar).

Pengarah Strategi PKR itu, berkata langkah tersebut diambil bagi memberi tekanan kepada syarikat konsesi air supaya membayar pampasan kepada pengguna yang terjejas akibat terputus bekalan air.

"Saya membuat keputusan untuk memfailkan seberapa banyak kes tuntutan terhadap Syabas di Tribunal Tuntutan Pengguna mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999.


 "Pusat Khidmat Parlimen Pandan akan menghubungi seberapa banyak isi rumah yang terjejas dengan gangguan bekalan air dan akan memfailkan kes terhadap SYABAS untuk menuntut pampasan di Tribunal Tuntutan Pengguna," kata Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan dalam satu kenyataan media hari ini.


Rafizi juga mengecam Syabas yang disifatkannya sebagai tidak bertanggungjawab dan cekap dalam mengendalikan pengurusan air sehingga menyebabkan masalah air yang berlaku sejak Disember tahun lalu kembali berulang.

"Sebagai pemegang konsesi yang memonopoli bekalan air di Lembah Klang, kelemahan ini tidak boleh diterima sama sekali oleh pengguna," katanya.

Menurut Rafizi, langkah untuk mengheret Syabas ke Tribunal Pengguna bertujuan memberikan amaran supaya perkara sama tidak berulang di masa depan.

"Selagi tidak ada kempen tersusun untuk memaksa Syabas memberi pampasan kepada rakyat, selagi itulah Syabas tidak menghiraukan kesusahan yang dihadapi rakyat setiap kali gangguan bekalan air berlaku," katanya.

Kali terakhir masalah bekalan air terputus berlaku adalah pada Mac lalu dimana bekalan air di Gombak, Hulu Langat dan Kuala Lumpur terganggu selepas dua loji rawatan terjejas kerana hujan lebat.

Pertikaian berhubung isu air di Selangor mula mendapat perhatian apabila pembinaan Loji Langat 2 dihentikan kerajaan Pakatan Rakyat selepas Pilihan Raya 2008.

Ekoran kekerapan berlakunya gangguan bekalan air, kedua-dua pihak, kerajaan negeri dan Syabas sering betelagah menyalahkan satu sama lain.

Kerajaan pusat seringkali menggesa kerajaan PR Selangor untuk membenarkan pembinaan Loji Langat 2 bagi mengatasi masalah kekurangan takungan air bersih di negeri tersebut. Dan menjadikannya sebagai satu isu bagi kempen pilihan raya yang lalu.

Tiada ulasan: