Khamis, 29 Ogos 2013

Nama pejuang kemerdekaan diabadikan di tempat sewajarnya



Oleh Abdul Razak Idris

HANG TUAH, Mahsuri, Cik Siti Wan Kembang, Datuk Maharajalela, Datuk Bahaman, Mat Kilau, Tok Janggut, Haji Abdul Rahman Limbung, Mat Salleh, Rosli Dhobi dan lain-lain lagi nama tokoh sejarah yang disebut semasa belajar subjek Sejarah sering bermain di fikiran dan dihafal sebagai wadah untuk berjaya dalam peperiksaan seperti Sijil Rendah Pelajaran (SRP, kini PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Selepas tamat belajar nama-nama tersebut terus dilupakan seolah-olah ia wujud hanya untuk menjadi input peperiksaan bukan untuk kita mengingati jasa dan sumbangan mereka hingga kita mampu tersenyum sambil memandu kereta Proton Suprima S.

Semakin jauh kita memandu semakin jauh kita meninggalkan perkara-perkara yang berlaku di belakang. Namun kita perlu ingat tanpa sejarah kita tidak akan mampu memecut laju ke depan. Tokoh-tokoh sejarah yang dinyatakan adalah pemangkin kepada keberadaan dan kejayaan kita hari ini.

Jangan sesekali kita melihat Hang Tuah tidak relevan dengan kemajuan kita hari ini, hingga ada yang menganggap wira negara yang menjadi pahlawan di Melaka pada kurun ke-15 adalah legenda semata-mata.

Namun kata-kata keramat "Tak Melayu Hilang di Dunia" yang disebut oleh pahlawan tersohor itu menjadi azimat kepada perjuangan parti keramat orang Melayu, parti UMNO untuk menjadi tonggak pentadbiran negara dari selepas merdeka 31 Ogos 1957 hingga ke detik kini.

Walaupun Melaka telah tidak mengamalkan sistem beraja namun nama pahlawan Melayu itu diabadikan di beberapa pusat beli-belah dan jalan di Melaka Bandar Bersejarah. Begitu juga tokoh- tokoh lain seperti Mat Kilau yang diabadikan namanya di sekolah rendah dan menengah di Pahang.

Namun dalam kita menghargai perjuangan tokoh-tokoh bangsa dari zaman Melaka hingga selepas era Belanda dan British jangan kita lupakan nama-nama wira negara yang meninggal dunia kerana berjuang demi menjaga kedaulatan negara pada zaman Jepun dan darurat dari 1948 hingga 1960 serta era 1970-an dan hujung 1980-an.

Nama seperti Leftenan Adnan Saidi, Sarjan Jamil Shah dan Pegawai Waran II Kanang Anak Langkau begitu dekat dengan kepahlawanan perang era moden. Nama-nama ini perlu diabadi di kem-kem tentera dan tidak sekadar menjadi watak dalam pentas hidup dan dalam filem semata-mata.

Ini bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam diri anak-anak kita yang terlampau 'laju' dengan capaian internet hingga mereka lupa bagaimana teknologi tersebut bermula di negara ini.

Tanpa adanya pahlawan yang sanggup bergadai nyawa dan darah untuk membasmi elemen negatif seperti anasir-anasir subversif komunis dan tali barut asing maka kita tidak dapat melakukan apa sahaja kegiatan ekonomi di bumi bertuah ini.

Hari ini di Kuala Lumpur dan Putrajaya, kita tidak dapat melihat suatu bangunan yang mempunyai nama pahlawan dan pemimpin negara yang telah menjadikan Malaysia sebuah negara yang pesat membangun.

Alangkah baik jika Menara Berkembar Petronas dinamakan Menara Berkembar Tun Mahathir, Muzium Negara dinamakan Muzium Hang Tuah, Pasar Seni dinamakan Pasar Seni Tun Seri Lanang dan Putra World Trade Centre (PWTC) dinamakan Menara Datuk Onn Jaafar.

Bagaimana rakyat pada masa depan dapat menghargai pemimpin kerajaan yang ada jika kita gagal menghargai penyumbang kepada kejayaan dan kemajuan negara kita.

Dalam dunia serba pantas hari ini, manusia sudah menjadi manusia hybrid iaitu bermutasi menjadi separuh elektronik separuh orang. Ini disebabkan manusia sudah menjadi hamba gajet hingga tanpa ada telefon tangan mahupun telefon pintar dibawa ke tempat kerja, hidup dirasakan tidak sah.

Sekurang-kurangnya apabila rakyat negara ini melihat aplikasi telefon pintar seperti Google Maps mereka akan melihat nama bangunan yang tertera nama tokoh sejarah dan ini akan menyebabkan mereka terfikir, apakah sejarah di sebalik nama tersebut.

Terutama dalam kalangan pelancong itu sendiri. Mesti mereka tertanya-tanya mengapa nama Hang Tuah diabadikan di muzium misalnya.

Justeru, masih belum terlambat untuk kita mengabadikan nama-nama tokoh bersejarah di negara ini. Kerana di negara Barat ia penting sebagai menghargai jasa pemimpin dan sumbangan mereka.

Mungkin bagi negeri Selangor pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) boleh mencadangkan nama Stadium Shah Alam menjadi Stadium Mokhtar Dahari sebagai simbol pemain yang hebat dan tangkas menggempur benteng lawan dan dijelmakan dalam diri mereka.

Dalam keadaan prestasi pemain dan bola sepak negara hari ini cadangan tersebut amat relevan. Tepuk dada tanya selera, insya-Allah jika Kerajaan Pusat, kerajaan negeri dan majlis kerajaan tempatan menghargai tokoh sejarah, insya-Allah rakyat lebih menghargai kemerdekaan dan pengisiannya.

Walau ada pujangga berkata, apa ada pada nama, jawapannya mudah sahaja tanpa nama siapalah kita. Tanpa tokoh sejarah yang sanggup berkorban untuk kejayaan bidang politik, ekonomi, sukan dan keselamatan tiadalah negara bernama Malaysia.

Sesungguhnya tema "Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku" menggambarkan pengorbanan tokoh-tokoh yang sudah lama meninggalkan kita dengan legasi keamanan yang begitu berharga.

Walau nama hilang di mata, namun di hati dihilangkan jangan. Merdeka! Merdeka! Merdeka. Al-Fatihah untuk Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Tokoh yang begitu sinonim dengan kemerdekaan negara.U/M

Tiada ulasan: