Rabu, 28 Ogos 2013

Jerebu kembali lagi, bintik panas bertambah di Riau

OLEH TRINNA LEONG

Gambar fail menunjukkan Menara Berkembar Petronas hampir tidak kelihatan ketika negara dilanda jerebu dua bulan lalu. Gambar fail menunjukkan Menara Berkembar Petronas hampir tidak kelihatan ketika negara dilanda jerebu dua bulan lalu.


















Malaysia kini dalam keadaan berjaga-jaga apabila bilangan bintik panas bertambah di Sumatera dari 86 ke 308 pada Sabtu lalu menurut Pusat Meteorologi Asean di Singapura yang memaklumkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) meningkat di kawasan utara semenanjung Malaysia terutama Kedah dan Pulau Pinang.

Pada 9 pagi ini, Sungai Petani mencatatkan bacaa IPU tertinggi iaitu 98. Seberang Jaya (92) manakala di Langkawi keadaannya berjerebu dengan bacaan IPU 84.

Beberapa kawasan yang berisiko juga mencatatkan bacaan IPU tidak sihat dan antaranya ialah Bukit Rambai, Melaka (93), Seri Manjung, Perak (89) dan Pelabuhan Kelang, Selangor (80).

 Bacaan IPU di antara 0 hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat dan atas 300 adalah merbahaya.

Jabatan Alam Sekitar masih belum mengeluarkan amaran namun masih dalam berjaga-jaga memantau keadaan.

Agensi Alam Sekitar Singapura memberi amaran kepada rakyatnya dan meletakkan negara itu dalam keadaan berjaga-jaga berikutan amaran jerebu kembali.

Lebih 200 sekolah di Johor, Melaka, Selangor dan Kuala Lumpur diarah tutup apabila bacaan IPU mencecah paras bahaya 300 pada Jun. Situasi bertambah kritikal terutama di Melaka apabila bacaan IPU melebihi 700.

Tiga minggu lalu, kerajaan meminda arahan supaya sekolah perlu ditutup apabila bacaan IPU mencecah 200 mengikut piawaian antarabangsa.

Jerebu dari Indonesia menjejaskan negara jiran berikutan keadaan kering di antara Mei dan September.
Agensi Geofizik dan Meteorologi Pekanbaru memberitahu pembakaran hutan semakin membimbangkan sejak tiga hari lalu.

“Pada jam 5 pagi Rabu, kami mengesan 297 bintik panas sementara jumlah bintik panas seluruh Sumatera adalah 407,” kata penganalis jabatan itu, Warih Budi Lestarim.

Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Syarif Kasim II di Pekanbaru terpaksa menunda beberapa penerbangan disebabkan asap tebal yang mengehadkan jarak pandangan.

Sementara itu, Menteri Perhutanan Indonesia, Zulkifli Hasan mengumumkan kes berkaitan jerebu  dirujuk kepada polis.

“Polis menahan puluhan mereka yang terlibat. Tunggu sahaja hasil siasatan selesai. Tidak kira sama ada warga tempatan atau pekerja asing, mereka yang bersalah akan dihukum,” katanya.

Tiada ulasan: