KUALA
LUMPUR: DAP menetapkan 29 September depan sebagai tarikh
pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC). Pemilihan semula
itu akan diadakan di Lembah Klang.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, parti juga
memutuskan bahawa calon-calon untuk pemilihan semula CEC kali ini adalah
daripada senarai yang sama seperti dalam Kongres Kebangsaan 2012 lalu.
“Keputusan mesyuarat kali ini adalah sebulat suara
mengadakan pemilihan semula pada tarikh 29 September 2013, bertempat di
Lembah Klang dan ianya berkemungkinan berlangsung di Petaling Jaya.
Kami akan putuskan lokasi tetapnya kemudian.
“Calon-calon dalam pemilihan semula CEC nanti adalah
berdasarkan senarai yang sama seperti Kongres Kebangsaan, Disember lalu,
kecuali calon-calon itu dengan sukarela menarik diri.
“Ini kerana tidak ada sebarang kontroversi dalam senarai
calon-calon dan ROS (Pendaftar Pertubuhan) juga menyatakan hanya
pemilihan semula saja harus dibuat,” katanya dalam sidang media di Ibu
Pejabat Kebangsaan DAP, semalam.
Guan Eng yang juga Ahli Parlimen DAP Bagan menegaskan,
perwakilan yang telah digantung atau dipecat selepas Kongres Kebangsaan
2012 turut layak mengambil bahagian dalam pemilihan kali ini.
“Kami juga memutuskan untuk membenarkan perwakilan yang
digantung atau dipecat mengambil bahagian, namun terpulang kepada mereka
untuk ikut serta atau tidak,” ujarnya.
Ketua Menteri Pulau Pinang itu turut menyatakan bahawa DAP
akan menangguhkan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) dan konvensyen negeri
yang dijadual di antara Ogos dan Disember ini untuk memberi laluan
kepada pemilihan semula CEC.
Pada masa yang sama, beliau mengumumkan Ketua Whip DAP,
Anthony Loke dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Kongres
Khas tersebut manakala Ahli Parlimen DAP Serdang, Dr Ong Kian Ming
sebagai Pegawai Pengurus Pemilihan dan sebuah firma perakaunan
antarabangsa sebagi pemantau proses pengiraan.
Guan Eng turut mengulangi bahawa tindakan mengadakan
pemilihan semula ini dilakukan di bawah bantahan untuk mengelakkan parti
dari diharamkan ROS.
“ROS langsung tidak mahu bertemu dengan kami, mereka kini jelas terbukti merupakan alat UMNO.
“Walaupun kami memenuhi segala permintaan mereka dan
menjawab kecurigaan pendaftar dengan sewajarnya. Baru-baru ini, Anthony
Loke telah mengemukakan bukti pemilihan CEC berjalan mengikut prosedur
dengan menunjukkan bukti rekod kehadiran, tanda tangan serta notis,
namun, sehingga sekarang tidak ada sebarang sebab dinyatakan ROS mengapa
DAP perlu buat pemilihan semula,” katanya. -Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan