Rabu, 28 Ogos 2013

Selangor Mahu Bangunkan Pelabuhan Klang Dengan Kos RM1.5 Bilion

MSYAR ONLINE
 
KLANG: Kerajaan Selangor merancang membangunkan Pelabuhan Klang di sini untuk menjadikannya setaraf dengan pelabuhan-pelabuhan terpenting dan terbesar lain di dunia.

Ini akan dilaksanakan dengan penyediaan kemudahan infrastruktur yang jauh lebih baik dengan anggaran kos pembangunan RM1.5 bilion, kata Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurutnya antara projek pembangunan yang akan dijalankan ialah kompleks pusat bandar, membina jalan-jalan baru dan menambah baik aliran pengangkutan di kawasan Pelabuhan Klang.

Beliau berkata beberapa perancangan dilakukan termasuk bersama Majlis Perbandaran Klang (MPK) bagi memastikan projek pembangunan itu dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.

"Perancangan sedang dibuat untuk memastikan Pelabuhan Klang yang terkenal dengan Pelabuhan Barat, Pelabuhan Utara dan Pelabuhan Selatan, setaraf kedudukannya sebagai antara pelabuhan terpenting dan terbesar di dunia.

"Kita juga akan mengadakan perbincangan meja bulat dan membuat kajian dengan ahli majlis dan pegawai MPK berhubung perkara ini," katanya pada sidang media di sini, Selasa.

Terdahulu, Abdul Khalid menyampaikan Anugerah MPK Prihatin 2013 kepada 22 persatuan penduduk, badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta serta lapan individu yang banyak membantu MPK memberikan perkhidmatan perbandaran yang baik. - BERNAMA

Tiada ulasan: