Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi hari ini memberi pandangan
supaya Akta Pencegahan Jenayah 1959 (disemak 1983) yang sedia ada
diperbaiki supaya memberi kuasa kepada polis untuk memerangi jenayah
berat, bukan sebaliknya memperkenalkan satu akta baru yang berfungsi
sama seperti Akta Darurat (EO).
Beliau berkata, Akta Pencegahan Jenayah (PCA) mempunyai fungsi sama
seperti dengan EO yang sudah dimansuhkan, bagaimanapun polis tidak
menggunakan akta itu untuk menangani kes jenayah berat yang dikatakan
meningkat.
"Polis boleh gunakan PCA ini, mereka boleh gunakannya.
"Tapi kenapa polis tidak mahu menggunakan PCA ini saya tidak dapat
jelaskan, secara jujurnya saya tidak tahu untuk jelaskan. Mungkin dulu
ada alasan tidak gunakannya kerana EO tapi kini ia sudah dimansuhkan,"
kata Zaki semasa perbincangan meja bulat yang diadakan di Universiti
Malaya hari ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini
mengumumkan menghantar draf pertama set undang-undang baru untuk
menggantikan EO ke Jabatan Peguam Negara, bagaimanapun Zaki berkata
sebaliknya apabila menegaskan memadai sekadar PCA dipinda.
"Sudah tentu kita boleh pinda ini, perkara ini berada dalam jadual dan menteri mempunyai hak untuk meminda jadual PCA.
"Hanya perlu tanpa akta undang-undang dibawah kategori ini," katanya.
PCA terbahagi kepada lima kategori sedia ada, siasatan perlu dilakukan
bertujuan menentukan sama ada seseorang yang ditahan itu jatuh di bawah
salah satu kategori yang tersenarai iaitu ahli kumpulan haram atau
kongsi gelap, seseorang menyertai kumpulan terbabit dalam aktiviti
jenayah, penyeludupan dadah, penyeludupan manusia dan perjudian atau
mesin judi haram yang menyalahi undang-undang.
Zaki, yang juga salah seorang panel dalam Suruhanjaya Diraja Polis
2004, menyifatkan "tahanan tanpa bicara" hanya jalan pintas kepada
pasukan polis untuk menahan seseorang individu yang disyaki.
"Penahanan pencegahan mungkin jalan pintas," katanya.
Bagaimanapun, Zaki faham jika polis tetap bertegas untuk menggunakan
penahanan pencegahan kerana menurutnya ia adalah lebih mudah jika
dibandingkan dengan proses yang perlu dilalui mengikut PCA.
"Semasa EO dikuatkuasa, polis dapati lebih senang gunakan EO berbanding
PCA kerana kesalahan dalam PCA sangat terhad dan mereka terpaksa
berdepan majistret dan perlu membawa tertuduh untuk didakwa dalam tempoh
24 jam.
"Berbeza dibawah EO, mereka boleh tahan 60 hari tanpa arahan mahkamah.
Maka polis akan peroleh masa lebih banyak untuk siasat," katanya.
Seseorang yang ditahan dibawah PCA dengan alasan munasabah akan
diberikan tempoh reman selama 28 hari, sekiranya gagal membuat
pendakwaan dalam tempoh itu tertuduh akan dilepaskan oleh majistret.
Zaki turut mengakui keberkesanan penahanan pencegahan yang mampu
mengurangkan kadar jenayah, kerana menyifatkan perkara paling sukar
dalam sesuatu pendakwaan adalah untuk membawa saksi bagi memberikan
keterangan.
"Tetapi ia sangat berkesan, saya boleh pastikan kadar jenayah boleh dikurangkan.
"Untuk menangkap, mengenalpasti mereka dan mengemukakan bukti bukan
senang. Saksi tidak akan tampil di mahkamah, bukan senang untuk bawa
saksi beri keterangan," katanya.
Awal bulan lalu, Zahid berkata kerajaan merangka undang-undang baru
dalam usaha membanteras jenayah selepas memansuh EO dan Akta Kediaman
Terhad.
Dua menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low dan Nancy
Shukri, ditugas untuk mendapatkan maklum balas mengenai draf
undang-undang baru itu.
Namun, Menteri Dalam Negeri itu menerima kritikan hebat daripada Ahli
Parlimen Pakatan Rakyat (PR) kerana cuba mengaitkan EO sebagai alasan
peningkatan kadar jenayah walaupun statistik polis menunjukkan kadar
jenayah selepas EO dimansuhkan iaitu pada 2012, menurun.
EO dimansuhkan pada tahun 2011 berikutan kritikan terhadap undang-undang itu yang dikatakan zalim dan tidak demokratik.
Ahmad Zahid juga menyatakan lebih 2,600 tahanan di Simpang Renggam,
Johor dibebaskan berikutan pemansuhan EO tetapi beberapa daripada mereka
kembali melakukan jenayah.
Namun, kenyataan Ahmad Zahid itu disanggah kerana hakikatnya ketika EO
masih wujud, jenayah meningkat secara agresif daripada 2003 kepada 2008
Tiada ulasan:
Catat Ulasan