Mazlan Ngah
Mazlan Ngah
 
KUALA TERENGGANU - Semua pelajar Terengganu di Mesir akan dipanggil pulang sekiranya keselamatan mereka terancam berikutan pergolakan yang berlaku di negara itu sekarang.
  
Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mazlan Ngah berkata kini terdapat lebih 300 orang pelajar Terengganu yang sedang belajar di Universiti Al-Azhar, Iskandariah dan Mansoura di Mesir.
  
"Sejak dua tahun lepas kita sudah tidak hantar lagi pelajar-pelajar baharu ke Mesir, yang ada di sana ialah pelajar-pelajar lama di tahun tiga hingga lima," katanya kepada pemberita selepas majlis anugerah perkhidmatan cemerlang Yayasan Terengganu hari ini.
  
Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung keselamatan pelajar-pelajar Terengganu berikutan pergolakan yang sedang berlaku di Mesir sekarang.
  
Mazlan berkata tindakan memanggil pelajar-pelajar di Mesir itu pulang ke tanah air bergantung kepada keputusan kerajaan persekutuan.

"Kalau kerajaan persekutuan memutuskan mereka pulang, maka kita akan memanggil mereka pulang," katanya.
  
Tambahan pula, Mazlan berkata keselamatan pelajar-pelajar Terengganu di Mesir tidak begitu membimbangkan kerana mereka tinggal dalam asrama.
  
"Kita rasa tidak bimbang dari segi keselamatan mereka," katanya.
  
Beliau berkata kedutaan Malaysia di Mesir sentiasa memberikan nasihat dan maklumat berhubung keselamatan pelajar-pelajar Terengganu di negara itu. - Bernama