Keadaan itu dirasai kebanyakan pemandu teksi yang beralih kepada penggunaan NGV .
Pemandu teksi, Mohd Zaidi Abas, 50, berkata, stesen yang menyediakan perkhidmatan NGV di sekitar Petaling Jaya perlu ditambah memandangkan kebanyakan pengguna NGV harus menunggu lama bagi mengisi gas asli itu.
“Banyak kenderaan seperti lori dan van juga beralih kepada penggunaan NGV dan keadaan ini menyebabkan pengguna perlu menunggu lama bagi mengisi gas asli itu,” katanya.
Menurut Zaidi, kebiasaannya, sebuah kereta akan mengambil masa selama kira-kira lebih kurang 10 ke 15 minit bagi mengisi keperluan NGV.
"Namun, kenderaan berat seperti lori mengambil masa lebih lama.
“Malah ada juga stesen yang menyediakan perkhidmatan NGV tidak mempunyai pekerja mencukupi dan masih perlu meningkatkan mutu perkhidmatan,” katanya.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Persatuan Pemandu Teksi Selangor dan Wilayah Persekutuan, Kamialin Yahya berkata, masalah itu perlu diatasi memandangkan pengguna tidak boleh mengisi NGV sesuka hati kerana caranya tidak sama seperti petrol.
"Prosedur bagi mengisi NGV perlu dilakukan pekerja stesen terbabit memandangkan mereka telah mendapat latihan terlebih dahulu.
“Isi NGV ini tidak sama seperti petrol dan jika pekerja tidak cukup, keadaan ini akan membuatkan pelanggan perlu menunggu lama,” katanya.
Kamialin berkata, memandangkan pertambahan kenderaan menggunakan gas asli ini, stesen NGV perlu ditambah di sekitar Lembah Klang khususnya Petaling Jaya.
Menurutnya, cadangan terbabit perlu diberikan perhatian oleh pihak berwajib bagi menangani kesulitan yang dialami pengguna NGV, terutama pemandu teksi.
“Di Petaling Jaya, saya anggarkan hanya dua stesen NGV disediakan.
"Jadi, ada pemandu terpaksa pergi stesen yang jauh dari kawasan mereka dan keadaan ini akan menyebabkan pelbagai masalah kepada kita," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan