Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut masuk ke fasa kedua.
Kalau sebelum ini, kedua-dua pihak yang bertanding menerangkan tujuan
mereka menyertai pilihan raya ini, mulai semalam kedua-dua pihak
melepaskan peluru serangan kepada lawan masing-masing.
Penceramah Barisan Nasional (BN) secara terbuka menyerang tema kempen PAS, 16:16 Kuala Besut cipta sejarah.
"Ini bukan cipta sejarah, ini mahu mencipta huru-hara. Kita nak
huru-hara dan tak stabil ke adik kakok," kata seorang penceramah BN
dalam ceramahnya di perkarangan bazar Ramadan pekan baru Kuala Besut.
BN dari awal lagi mengajak pengundi Kuala Besut agar mengundi calonnya
bagi menwujudkan kestabilan dalam politik dan pentadbiran negeri
Terengganu.
Pengarah pilihan raya BN yang juga Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin Yassin dari awal lagi menegaskan kemenangan BN perlu untuk
kestabilan kerajaan dan politik Terengganu.
Hanya dengan kestabilan sahaja kerajaan negeri dapat memberikan tumpuan
untuk membantu rakyat, kata Muhyidin ketika memperkenalkan calonnya,
Tengku Zaihan Cheku Abd Rahman.
Jika BN kalah dalam pilihan raya kecil ini, Ahli Dewan Undangan Negeri
(Adun) BN akan sama ramai dengan Adun Pakatan Rakyat (PR) dalam DUN
Terengganu iaitu 16:16 dalam Dun yang mempunyai 32 anggota itu.
Bagi BN ini akan menghasilkan huru hara dan ketidakstabilan kepada politik dan pentadbiran.
Di pihak PAS pula, mereka mempertahankan slogan untuk mencipta sejarah.
Ini kerana, apabila ini berlaku, semua pihak akan memberikan tumpuan
untuk menjaga rakyat bagi memastikan rakyat menyokong mereka.
"Kita mahu jaga kepentingan BN ke rakyat. Kalau BN menang bukan rakyat
yang untung tetapi kerajaan BN yang stabil. Bila BN stabil, mereka tidak
akan menjaga kepentingan rakyat," kata seorang pemimpin PAS Terengganu.
Selain menyerang asas kempen masing-masing, kedua-dua pihak juga mula
melepaskan peluru ke pihak lawan. PAS hari ini menyerang secara langsung
kegagalan calon BN ketika bertugas sebagai Jurutera Jabatan Parit dan
Saliran (JPS) Daerah Besut dari tahun 2008 - 2013.
Kegagalan paling besar beliau selaku Jurutera JPS adalah membaik pulih
Empangan Lowvier Kampung Nangka yang menyebabkan 1,000 ekar sawah padi
kering kontang dan tidak boleh digunakan sejak dua tahun lalu.
Akibatnya 400 keluarga petani atau kira-kira 2,000 penduduk hilang mata
pencarian dan tidak boleh menanam padi sejak tiga musim lalu.
"Saya meletakkan kesalahan ini di atas bahu Tengku Zaihan selaku
pegawai yang bertanggungjawab," kata Datuk Abu Bakar Chik, AJK PAS Pusat
dalam sidang medianya hari ini.
BN pula menjadikan kesilapan calon PAS dalam memberikan kenyataannya
kepada media. Beliau didakwa mahu lari dari tanggungjawab apabila mahu
melantik wakilnya di Kuala Besut jika menang, sedangkan beliau mahu
menguruskan perniagaannya di Kelantan.
Padahal yang dimaksudkan Azlan Yusof atau lebih dikenali sebagai Che
Long adalah mahu melantik pegawai untuk membantu beliau melaksanakan
tugasnya dan semua gaji beliau sebagai wakil rakyat akan digunakan untuk
kepentingan rakyat.
Che Long adalah seorang kontraktor kelas A. Beliau banyak mendapat
kontrak projek kerajaan negeri dan persekutuan berdasarkan rekod
syarikatnya.
Che Long bermula sebagai seorang peniaga stor kayu dan pasir di Kampung
Baru, Kuala Besut. Dari situlah perniagaan beliau berkembang kepada
seorang kontraktor yang berjaya.
Memang calon PAS tidak berpelajaran tinggi sebagaimana calon BN tetapi
faktor beliau sebagai orang yang sangat terkenal di kalangan pengundi
Kuala Besut adalah faktor utama kenapa PAS memilih beliau sebagai calon.
Sebut saja, golongan mana sekali pun di Kuala Besut ini semuanya
mengenal Che Long. Ini menyebakan PAS menjadikan antara tema kempen
untuk Che Long adalah 'Mudoh baso, mudoh jembo'.
'Mudoh baso' adalah orang yang senang dibuat kira bicara dalam
kehidupan seharian, manakala 'mudoh jembo' adalah orang yang senang
ditemui untuk mendapatkan sebarang bantuan.
Ramai yang beranggapan, jika PAS menang dalam pilihan raya ini, faktor
utamanya adalah calonnya iaitu Che Long berbanding dengan calon BN yang
hanya sekolah rendah di Besut, manakala sekolah menengah dan universiti
di luar Besut. Beliau juga kini tinggal di Putrajaya dan hanya berharap
kepada bapanya seorang bekas guru agama Felda.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan