THE MALAYSIAN INSIDER
Pengundi
pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Kuala Besut perlu mencelup
jari telunjuk kiri ke dalam dakwat kekal yang disediakan pada hari
mengundi dan tidak lagi sekadar dicalit oleh pegawai bertugas seperti
yang dilakukan pada pilihan raya umum lepas.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd
Yusof (gambar) dalam satu kenyataan mengulangi bahawa penggunaan dakwat
kekal merupakan prosedur tambahan pengundian bagi mengelak sebarang
percubaan mengundi dua kali oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.
Kali ini dakwat kekal akan digunakan pada hari pengundian awal 20
Julai dan pengundian biasa PRK Kuala Besut pada 24 Julai. Selain itu,
Abdul Aziz turut menasihati pengundi supaya menyemak senarai pengundi
dan memastikan saluran serta tempat mengundi yang betul kerana jika nama
pengundi tidak terdapat dalam senarai pengundi di tempat dan saluran
yang ditetapkan, mereka tidak akan dibenarkan mengundi.
Abdul Aziz berkata SPR menetapkan Kompleks Rakan Muda Kg Raja Besut,
Kuala Besut sebagai tempat penamaan calon, dan proses penamaan calon
bermula pukul 9 pagi hingga 10 pagi pada 12 Julai.
Beliau menasihatkan para penyokong parti supaya tidak melakukan
perkara yang tidak diingini dan melanggar undang-undang untuk memastikan
proses penamaan berjalan lancar.
Abdul Aziz turut mengingatkan mereka supaya mematuhi peraturan yang
ditetapkan dalam Seksyen 24A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang tidak
membenarkan para penyokong atau sesiapa yang mengiringi calon membawa
alat-alat muzik, pembesar suara dan membuat ceramah politik pada hari
berkenaan.
Ketika proses penamaan calon itu juga hanya calon, pencadang dan penyokong yang dibenarkan masuk ke dalam dewan, katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa tempoh rasmi berkempen hanya bermula
selepas pegawai pengurus mengisytiharkan bahawa ada pertandingan yang
akan dijalankan dan kempen akan berakhir pada tengah malam 23 Julai.
Sebuah pasukan penguatkuasa kempen pilihan raya akan ditubuhkan bagi
memantau aktiviti sepanjang tempoh rasmi berkempen selaras dengan
peruntukan akta berkenaan. - Bernama,
Tiada ulasan:
Catat Ulasan