Ahad, 21 Julai 2013

Sokongan Ahli Keluarga, Kenalan Lama Che Long Makin Terserlah

BULETIN ONLINE

BESUT – Kempen pusingan kedua bertemu dengan ahli keluarganya memperlihatkan sokongan kepada calon PAS, Haji Endot@Azlan Yusof atau Che Long semakin terserlah.

Seperti biasa, Jadual Pergerakan Calon diawal pagi dari jam 9.00 hingga 12.00 tengahari, Che Long akan melakukan ziarah anak-beranak sama ada secara solo atau bersama pengiringnya.

chelong HARI 10

Kempen Che Long pada hari ke-10, bertemu dengan kaum keluarga yang mungkin sebelum ini agak jarang bertemu kerana perbezaan fahaman politik.

Namun begitu, perasaan segan yang ‘menebal’ itu diketepikan demi memenuhi tanggungjawab sebagai calon yang bakal dipilih oleh rakyat pada 24 Julai nanti.

Tinjauan Buletin, berkesempatan mengikuti pergerakan Che Long bertemu dengan salah satu ahli keluarganya yang disegani masyarakat setempat di Kampung Baru.

Kata Che Long, kempen masuk hari ke-10 ini adalah pusingan kedua beliau menziarahi serta bertemu dengan ahli keluarganya.

Menurutnya, selepas pusingan pertama mungkin masih ada yang tertinggal atau terlepas pandang dalam jadual kempen.

“Alhamdulillah, hari ini masuk hari ke-10 kita berkempen. Ini pusingan kedua Che Long untuk bertemu dengan ahli keluarga, rakan-rakan dan kenalan lama Che Long.

“Sebelum ini, Che Long sudah pergi bertemu dengan mereka (ahli keluarga) dan mungkin ada lagi yang tertinggal atau terlepas pandang dalam jadual kempen harian,” ujarnya.

Katanya, sambutan di kalangan ahli keluarga, kenalan lama dan penduduk setempat amat memberangsangkan serta menyakinkan PAS.

Program ziarah kempen anak-beranak itu turut ditemani oleh pengurus kempennya, Hanafiah Mat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Chukai, Kemaman.

Tiada ulasan: