Sindiket dadah terbesar tumpas
Noor Rashid (tengah) dan Mohd Mokhtar (dua, kiri) bersama dadah dan wang tunai yang dirampas dalam serbuan di Taman Flora Height, Batu Pahat.
 
Sindiket dadah terbesar tumpas
Lokasi taman perumahan elit yang menjadi sarang makmal dan stor dadah diserbu pihak berkuasa, kelmarin.
 
BATU PAHAT – Kegiatan licik sindiket dadah yang menjadikan rumah di kawasan perumahan elit sebagai makmal dan stor dadah untuk mengaburi pihak berkuasa akhirnya terbongkar, kelmarin.

Pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman dan Polis Johor, dalam satu serbuan, berjaya merampas 1.178 tan dadah bernilai RM31 juta selepas menyerbu sebuah premis di Taman Flora Height. Makmal itu adalah yang terbesar di negara ini.

Seramai enam suspek, terdiri empat lelaki dan dua wanita, termasuk seorang warga China, ditahan. Mereka berusia dari 24 hingga 52 tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, dalam serbuan berkenaan, serbuan dilakukan hasil intipan hampir setahun yang dimulakan selepas serbuan ke atas makmal dadah di Muar pada September tahun lalu.

“Dalam serbuan ketika itu, ketua sindiket terbabit dipercayai berjaya melepaskan diri dan telah memindah serta memperbesarkan kegiatan penghasilan dadah di daerah ini sejak beberapa bulan lalu.

“Pada tengah malam semalam (kelmarin), sepasukan polis menyerbu rumah berkenaan dan menemukan makmal bagi menghasilkan pelbagai jenis dadah yang dilengkapi dengan peralatan dan mesin canggih.

“Susulan serbuan itu, pasukan sama menyerbu dua stor (rumah) yang terletak berhampiran rumah (kawasan perumahan) tersebut dan menemukan syabu kristal seberat 51.29 kilogram (kg), syabu cecair (47.99 kg), ekstasi (22.4 kg), serbuk ekstasi (351.38 kg), heroin nombor empat (6.322 kg), heroin nombor tiga (1.64 kg) dan bahan kafein seberat 675 kg,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat, semalam.

Turut hadir, Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Mokhtar Mohd Sharif dan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asistan Komisioner Din Ahmad.

Kata Noor Rashid, hasil pemeriksaan lanjut turut menemukan dua pucuk pistol jenis Colt Walthers dan Smith Wesson bersama 217 butir peluru hidup yang dipercayai untuk kegunaan sindiket berkenaan.

Polis turut merampas lapan mesin pencetak pil, mesin pengisar, peralatan  memasak dadah, tujuh kereta mewah serta wang tunai berjumlah lebih RM1 juta.

Menurutnya, keseluruhan rampasan termasuk dadah adalah dianggarkan bernilai RM33 juta.

“Hasil siasatan polis mendapati dadah dihasilkan sindiket itu bukan sahaja bagi pasaran tempatan, sebaliknya turut dieksport ke Singapura dan Indonesia.

“Malah kita percaya sindiket ini  mempunyai kepakaran tinggi dalam menghasilkan dadah jenis syabu kerana mereka mampu memproses syabu kristal yang putih dan bersih.

“Kerana kepakaran yang ada pada mereka juga membuatkan sindiket berkenaan mampu menghasilkan pelbagai jenis dadah untuk dieksport ke luar negara,” katanya.

Keenam-enam suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.