Rabu, 17 Julai 2013

Selangor Beri Kupon Raya RM 100, Bonus Kakitangan GLC


org beli baju raya 12 jul 01

SHAH ALAM  : Seramai 28,000 rakyat Selangor yang kurang kemampuan bakal menerima kupon beli belah bernilai RM 100 di bawah Program Jom Shopping sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Manakala bagi kakitangan syarikat berkaitan Kerajaan Negeri (GLC), mereka bakal menerima bonus raya sebulan gaji, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Bagi program Jom Shopping Hari Raya Aidilfitri itu, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM 2.8 juta bagi menjayakan usaha tersebut.

Abdul Khalid menambah setiap keluarga yang berpendapatan di bawah RM 1,500 layak menerima bantuan itu dan perlu mendaftar di Pusat Khidmat Masyarakat dengan segera.

“Kupon ini melibatkan keluarga dari setiap 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) termasuk Dun di bawah Barisan Nasional.

“Kupon-kupon ini akan diedarkan kepada penerima oleh wakil rakyat di kawasan terlibat atau Pegawai Penyelaras bagi kawasan Dun pembangkang,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Bangunan SUK, di sini.

“Bantuan ini merupakan salah satu program di bawah Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang dilaksanakan Kerajaan Negeri sejak lima tahun lalu.

“Kerajaan Negeri sentiasa komited untuk meneruskan program-program kebajikan di bawah MES yang ternyata mendapat sambutan dan memberi manfaat kepada rakyat negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Negeri masih menunggu pengumuman bonus raya daripada Jabatan Perkhidmatan Awam bagi kakitangan awam negeri.

“Sekiranya ada, Kerajaan Negeri akan memberikan bonus raya bergantung kepada Kerajaan Pusat.
“Tetapi bagi kakitangan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri (GLC), kita bersetuju untuk memberikan sekurang-kurangnya sebulan gaji,” katanya.

Tiada ulasan: