KUALA LUMPUR : Seorang pemimpin Pakatan Rakyat(PR) hari ini mempersoalkan layanan istimewa Kerajaan Pusat terhadap Malindo Air meskipun audit kelayakan ke atas syarikat penerbangan tersebut untuk memperoleh Lesen Perkhidmatan Udara belum selesai.
Malindo Air dilancarkan tahun pada 12 September 2012 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sedangkan tarikh operasinya diumum pada Mei 2014.
Sedangkan menurut Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, lesen yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerbang Awam (DCA) itu hanya diberikan pada 28 Februari lalu.
Katanya, tindakan itu sama sekali bercanggah dengan kenyataan Menteri Pengangkutan sebelum ini berhubung kriteria pemberian lesen perkhidmatan udara iaitu ‘lulus dalam menjalani audit teknikal’.
“Maksudnya Najib melancarkan dan mengumumkan tarikh operasi sebelum DCA dapat menjalankan audit ke atas kelayakan syarikat tersebut untuk memperoleh lesen berkenaan.
“Kejadian ini memberi bukti kukuh bahawa Malindo Air diberikan sokongan luar biasa daripada Perdana Menteri sehingga kekurangan lain syarikat tersebut diabaikan,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, pemilik saham utama syarikat penerbangan itu iaitu National Aerospace and Defence Industries Sdn Bhg (Nadi) didapati melanggar Akta Syarikat 1965 kerana tidak memfailkan penyata kewangan mereka sejak tahun 2007.
Malah katanya, syarikat usahasama Malindo Air iaitu PT Lion Group merupakan syarikat penerbangan yang mempunyai trek rekod yang amat diragui di Indonesia dan antarabangsa.
“Adakah Kementerian sedar bahawa Lion Mentari Air adalah syarikat penerbangan yang diharamkan di European Union atas sebab kelemahan keselamatan dan tidak memenuhi piawaian penerbangan yang dibenarkan.
“Malah perkhidmatan Lion Air digantung beberapa bulan pada Julai 2011 atas sebab prestasi yang terlalu teruk.
“Isu-isu ini masih belum mengambil kira banyak kemalangan yang berlaku sebelum 2011,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan