Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata, sekiranya berjaya merampas kerusi kubu kuat BN itu, ia bermakna jumlah Adun PR akan menjadi sama dengan BN di dalam Dewan Undangan Negeri.
Rafizi berkata, jika misi itu berjaya, PR akan memastikan suara pakatan itu dapat didengari oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.
Menurutnya, PR mensasarkan memastikan negeri tersebut bebas kemiskinan dalam tempoh setahun.
"Apabila jumlah Adun PR dan BN sama maka menteri besar perlu mendengar cadangan kita dan beliau tidak boleh sewenang-wenangnya meluluskan sebarang belanjawan.
"Kita akan mengusulkan isu kemisikinan untuk pastikan Terengganu jadi negeri pertama bebas kemiskinan dalam tempoh setahun," katanya semasa berceramah di Kampung Air Terjun, di sini, malam semalam.
Rafizi berkata, PR mahu jumlah keluarga yang memperoleh pendapatan bulanan kurang daripada RM763 dapat dibasmi dalam tempoh setahun.
Selain itu, beliau turut mencadangkan supaya 5,000 unit rumah kos rendah dapat dibina setiap tahun untuk membantu meringankan beban rakyat mendapatkan rumah.
“Saya janji dengan penduduk Kuala Besut kalau kita menang 16:16 saya bagi sepenuh masa dan tumpuan saya untuk bantu Kerajaan Negeri Terengganu dalam membentuk idea-idea ekonomi,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pandan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan