Penganalisis politik dari Universiti Pengurusan Singapura Prof
Madya Bridget Welsh melihat senario pilihan raya umum ke-13 (PRU13) kali
ini cenderung mengamalkan politik keluarga apabila ada ahli Parlimen
yang terdiri daripada kombinasi bapa dan anak.
Menurut Welsh, situasi ini sebagai satu hal yang tidak sihat dan memerlukan pembaharuan.
“Perkembangan ini dilihat sebagai satu situasi tidak sihat dimana
bapa dan anak tidak sesuai jika digandingkan dalam satu sidang Parlimen
bersama,” jelas Welsh semasa melontarkan pendapatnya berhubung
perjalanan PRU13 di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) hari ini.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan anak sulungnya, Nurul
Izzah Anwar masing-masing merupakan anggota Parlimen Permatang Pauh dan
Lembah Pantai.
Selain itu Penasihat DAP Lim Kit Siang pula adalah Ahli Parlimen
Gelang Patah sementara anaknya Lim Guan Eng adalah Ahli Parlimen Bagan.
Selain itu, Welsh melihat calon muda dan teknokrat tidak kira dari
Barisan Nasional (BN) mahu pun Pakatan Rakyat (PR) mencatatkan
peningkatan keanggotaan dalam Dewan Rakyat pada sidang Parlimen kali
ini.
“Malaysia sebagai sebuah negara muda yang telah mencapai kemerdekaan
lebih 50 tahun telah menampilkan calon muda dan pertambahan calon wanita
begitu menggalakkan serta mereka yang mewakili badan bukan kerajaan,”
jelas Welsh.
Penganalisis itu turut melihat Malaysia kini sebagai sebuah negara
yang mempunyai minat yang tinggi terhadap politik apabila orang ramai
dilihat gemar berbicara tentang isu politik setiap hari.
“Ketakutan kini seakan sudah lupus dalam hati rakyat Malaysia. Mereka cenderung membicarakan isu politik pada setiap hari.
“Jika dilihat bukan kaum Cina sahaja yang menuntut perubahan dalam
PRU lalu tetapi kaum lain turut menyuarakan suara yang sama dengan
dibahagikan mengikut pecahan undi di bandar dan luar bandar.
“Penduduk kampung dan mereka yang tinggal di Sabah dan Sarawak
cenderung mengundi BN namun pengundi bandar dilihat memilih PR,” tambah
Welsh.
Sementara itu, penganalisis politik Prof Dr Syed Arabi Idid pula
berpendapat prestasi BN berterusan mencatatkan rekod buruk apabila BN
telah hilang dua pertiga kerusi Parlimen dua kali berturut-turut.
Beliau
juga melihat tsunami Cina hanya berlaku di kawasan pengundinya majoriti
berbangsa Cina.
“Pola pengundian tidak banyak terjejas dan tsunami Cina yang didakwa
itu hanya berlaku di kawasan yang majoriti pengundinya Cina namun bagi
kawasan Melayu tidak banyak perubahan direkodkan.
“Malaysia mengamalkan kemenangan parti dan bukanlah berlandaskan undi
popular semata-mata. Imj BN dan Umno dilihat telah memperkukuhkan lagi
kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Pengundi kini telah melihat bahawa kini bukan BN sahaja satu-satunya
parti yang boleh dipilih malah turut mempertimbangkan PR sebagai parti
pilihan mereka berdasarkan PRU lepas.
“PR berjaya mengenegahkan isu jenayah dan rasuah manakala BN pula
tidak dilihat sebagai juara dalam isu berkenaan,” tambah Syed Arabi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan