Tanyakan apa sahaja kepada Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohd Dzaiddin Abdullah, beliau akan jawab.
Tetapi, jangan sesekali tanya cadangan kontroversi yang dibuatnya
ketika mengetuai suruhanjaya khas pada 2004 berkaitan perlunya kerajaan
menubuh Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).
Ketika
itulah, hakim tertinggi yang selama ini aktif dan lantang, menjadi diam.
Kenapa? Apabila The Malaysian Insider bertanya hal itu,
beliau cuma berkata: "Setahu saya, kita sudah siapkan laporan dan beri
yang terbaik. Itu sahaja yang dapat saya katakan."
Selama sembilan tahun, cadangan mengenai sebuah badan bebas menyiasat
polis berjaya menarik minat ramai tetapi langsung tidak digemari polis.
Cadangan itu juga ditolak oleh kerajaan, terbaru Menteri Dalam
Negeri,Datuk Seri Zahid Hamidi yang percaya ia membawa kepada masalah
pertindihan bidang kuasa.
Tetapi, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk VT Singham menghangatkan
kontroversi itu semalam apabila menulis penghakiman mengenai keputusan
mahkamah mengenai keperluan untuk mempertimbang kemungkinan penubuhan
IPCMC berikutan pertambahan drastik kes kematian tahanan lokap.
Singham juga membentang hujah sama pada 26 Jun lalu ketika
menyampaikan keputusan kes kematian A Kugan dalam lokap polis, empat
tahun lalu.
Beliau mengulangi cadangan asal Dzaiddin ketika mengetuai Suruhanjaya
Diraja Untuk Mempertingkatkan Operasi Dan Pengurusan pada 2004.
Suruhanjaya itu membawa 125 cadangan kepada kerajaan, satu daripadanya ialah menubuh IPCMC - idea yang dibangkang polis.
Dalam kes Kugan, Singham menyalahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang ketika itu Ketua Polis Selangor.
Bagi beliau, cadangan suruhanjaya diraja itu tidak patut di'peti
sejuk' bahkan perlu disegera bagi memastikan orang ramai berasa
keselamatan mereka terjamin berikutan wujudkan sesebuah agensi bebas.
Ivy Josiah, Pengarah Eksekutif Pertubuhan Kebajikan Wanita memaklumkan The Malaysian Insider, kenyataan Singham dianggap berlebihan, sebaliknya sebagai nasihat kepada badan eksekutif dan perundangan.
"Ini penting kepada kerajaan untuk melakukan perkara yang betul,"
katanya yang menyatakan memang menjadi kelaziman apabila seseorang hakim
berlainan bidang kuasa memberi pandangan berdasarkan kes yang menjadi
tumpuan ramai.
Perkara yang dinyatakan Singham itu juga antara yang diharap-harapkan masyarakat awam sejak 10 tahun lalu.
"Mereka sudah meminta penubuhan IPCMC berikutan laporan kematian
dalam lokap makin menjadi-jadi," katanya yang menyifatkan pemantauan
terhadap polis adalah perkara lazim dalam mana-mana negara demokrasi.
"Polis sendiri patut ada keberanian untuk menyokong IPCMC bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat," kata Josiah.
Mengikut statistik Suaram, sebuah badan bukan kerajaan (NGO), ada 218
kes dakwaan kematian dalam lokap di Malaysia antara 2000 hingga Jun
lalu, dengan sembilan kes berlaku pada 2012 dan lima tahun ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan