Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mengumumkan calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut pada 9 Julai ini.

azlanMenteri Besar Datuk Seri Ahmad Said berkata BN negeri menyenarai pendek beberapa calon BN yang layak dan terpulang kepada pucuk pimpinan tertinggi untuk membuat keputusan.

"Timbalan Perdana Menteri sendiri akan umum calon pada 9 Julai ini, kita (BN) dah ada calon," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat tiga beradik yang menjadi mangsa dera di Kuala Terengganu baru-baru ini.

Beliau berkata BN yakin untuk mempertahankan DUN Kuala Besut berdasarkan sokongan rakyat semasa pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Menurutnya Kuala Besut merupakan kubu kuat BN dan jumlah majoriti yang dimenangi pada PRU13 merupakan satu kedudukan yang selamat untuk mempertahankan erusi itu dan keadaan "DUN tergantung" tidak akan berlaku sekiranya keputusan pilihan raya kecil Kuala Besut tidak menyebelahi BN.

DUN Kuala Besut kosong berikutan kematian Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut Dr A Rahman Mokhtar akibat kanser paru-paru, 26 Jun lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bermesyuarat semalam menetapkan 24 Julai sebagai tarikh mengundi dan 12 Julai sebagai hari penamaan calon PRK Kuala Besut.
-Bernama