Sabtu, 20 Julai 2013

‘Kalau rakyat Besut minta sungai pasti lulus’

Muhammad Faizal,


BESUT: "Saya rasa kalau rakyat Besut minta sungai dari Barisan Nasional pasti lulus," jelas Ketua Penerangan PAS Pusat, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim dalam kempen ceramahnya juga mempertikaikan tindakan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang masih lagi mengamalkan budaya lama dengan menyogok pelbagai projek pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut.

"BN kalau setiap kali pilihanraya semua jenis projek mereka janjikan, kalau rakyat Kuala Besut minta kerajaan buat sungai pun akan lulus.

"Tapi sekadar lulus la buat tu belum tentu, ini lah yang berlaku dan BN masih lagi mempermainkan penduduk di sini dengan janji kosong.

"Sampai bila BN hendak menipu rakyat, permainkan perasaan rakyat dengan janji pilihanraya yang belum pasti ditunaikan," jelasnya pada ceramah di Kampung Baharu berhampiran Kem Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM).

Menurut beliau lagi, rakyat perlu sedar dengan janji-janji pilihanraya yang dikatakan oleh BN.

Katanya, BN hanya inginkan undi sedangkan janji pembangunan itu belum pasti akan dilaksanakan jika mereka memenangi pilihanraya.

"Janji nak bina flat di Pulau Perhentian untuk rakyat sebanyak 200 unit dengan nilai RM33 juta.

"Harga seunit lebih kurang RM600 ribu, siapa nak beli rumah semahal itu, rakyat akan terus terpinggir dan yang mendapat untuk adalah kroni Umno yang dapat projek, akhirnya flat tersebut jadi hotel," sambungnya lagi.

Beliau menggesa agar rakyat membuat perubahan baru bagi memastikan hak mereka terpelihara dan tidak mahu rakyat di Pulau Perhentian terus terpinggir kerana pembangunan yang tidak dirancang dengan sempurna.

Menurutnya lagi, di Terengganu terdapat pelbagai projek yang mempunyai nilai berjuta-juta ringgit, namun terlalu banyak penyelewengan dalam projek tersebut tetapi perkara itu tidak dapat dihalang kerana tiada pihak yang berani untuk menegurnya.

"Siapa berani nak tegur Menteri Besar dalam projek yang penuh dengan kepincangan serta penyelewengan.

"Tetapi jika rakyat memilih PAS pada 24 Julai nanti, perkara ini akan dapat diatasi kerana keseimbangan kerusi yang menyebabkan kerajaan perlu akur kepada teguran atau bantahan dari PAS," kata beliau lagi.

Pengundian PRK Dun Kuala Besut akan berlangsung pada 24 Julai nanti, manakala pengundian awal pula pada hari ini, 20 Julai di Kem TUDM.

Tiada ulasan: