Selasa, 16 Julai 2013

Janji pangsapuri ‘percuma’ kurang meyakinkan

Khairul Azlam Mohamad,




BESUT: Pilihan raya kecil (PRK) Dun Kuala Besut kini menjadi pentas kepada pemimpin Umno BN menabur janji sebagai ‘umpan’ rakyat miskin terus bersama parti tersebut.

Yang Dipertua PAS Kawasan Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad, berkata kempen Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menjanjikan pangsapuri ‘percuma’ kepada 72 keluarga miskin kurang meyakinkan.

Katanya, tawaran itu sama seperti yang diwar-warkan kepada penduduk di Kampung Ladang Kuala Terengganu, yang terlibat dengan pengambilan balik tanah oleh kerajaan.

Menurutnya lagi, mereka juga ‘dijanjikan’ rumah pangsa yang murah di Flat Ladang Gemilang sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 tahun 2008 yang lalu.

“Hari ini penghuni di Flat Ladang Gemilang masih berstatus penyewa selamanya dengan kadar sewaan yang tinggi.

“Akhirnya, mereka sendiri tidak mampu untuk bayar sewa dan ada yang terpaksa berpindah ke tempat lain,” ujarnya ketika bercakap pada sidang media di Markas Besar Pilihan Raya N1 Dun Kuala Besut, di Kampung Baru, Kuala Besut, dekat sini hari ini. Hadir sama pada sidang media tersebut Ahli Jawatankuasa Induk PRK Kuala Besut, Dr Dzulkefly Ahmad. (Gambar atas)

Wan Azhar berkata, orang Melayu di Kampung Ladang Kuala Terengganu juga kehilangan kampung tradisi mereka yang menjadi warisan sejarah termasuk hilang mata pencarian keluarga masing-masing seperti pembuatan tembaga, songket dan keris.

Justeru, katanya PAS tidak pernah menolak sebarang bentuk pembangunan untuk rakyat tetapi bukan semata-mata kerana kepentingan politik tertentu.

“Kita (PAS) tidak menentang sebarang bentuk pembangunan yang baik dibuat oleh kerajaan. Apatah lagi, jika sesuatu kemudahan yang hendak dibangunkan itu boleh diberi percuma kepada rakyat miskin yang tidak berkemampuan.

“Bahkan, itulah yang menjadi agenda PAS dan Pakatan Rakyat jika diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah negeri dan negara, insya Allah,” tegasnya.

Beliau turut mendakwa sepanjang kempen PRK Kuala Besut, kerajaan Umno BN mempergunakan peluang kemiskinan rakyat bagi mengikat sokongan kepada partinya.

Menurutnya, pelbagai janji dan habuan akan diterima oleh rakyat sepanjang kempen pilihan raya seperti bantuan dana khas, dana raya, dana bakti remaja, dana nelayan dan lain-lain.

Tiada ulasan: