Setiausaha Pengelolanya, Anthony Loke Siew Fook mendakwa, Bung Mokhtar telah menyalahgunakan peluang bercakap di Parlimen untuk memfitnah DAP.
"Kita amat kesal apabila beliau mengeluarkan kenyataan fitnah itu. Nampaknya beliau sengaja mengucapkannya di Parlimen kerana tahu ada imuniti.
"Malangnya tiada tindakan dikenakan kepada beliau walaupun kita sudah membangkitkan soal peraturan mesyuarat. Kita harap Speaker Dewan Rakyat dapat menegur dan ambil tindakan kepada beliau," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen.
Terdahulu, Bung Mokhtar dalam ucapan perbahasannya mendakwa pasangan Alvin dan Vivian mendapat tajaan DAP.
Tindakannya itu mengundang kemarahan wakil rakyat DAP yang bangun dan membantah dakwaan tersebut, antaranya V Sivakumar (DAP-Batu Gajah), Nga Kor Ming (DAP-Taiping) dan Loke sendiri.
Menurut Loke yang juga ahli Parlimen Seremban, kenyataan Bung itu cuba memberi gambaran buruk terhadap DAP.
"Seperti yang ditegaskan sebelum ini, DAP mengutuk perbuatan pasangan blogger berkenaan. Tindakan mereka ternyata boleh mendatangkan kemarahan umat Islam dan menimbulkan masalah hubungan kaum.
"Namun, kita lebih kesal apabila ada pihak yang kaitkan mereka dengan DAP. Ini semua modus operandi Umno untuk memberikan imej negatif kepada DAP," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan