BuletinOnline.Net
Walaupun simulasi dakwat kekal telahpun dijalankan oleh pihak Suruhajaya Pilihanraya (SPR) dan turut disertai oleh pelbagai pihak antaranya wartawan, namun PAS masih merasa sangsi dengan keberkesanannya.Ini kerana kegagalan SPR menepati janji mereka dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke 13 yang lalu, masih belum cukup dengan simulasi ini, bagi menebus kembali kepercayaan umum terutama sekali dari pihak PAS.
Menurut Pengarah Pilihanraya PAS Pusat Dr Hatta Ramli, beliau dimaklumkan bahawa kandungan bahan utamanya iaitu silver nitrate didalam dakwat tersebut masih lagi satu peratus, sama seperti kandungan yang diisytiharkan oleh SPR dalam PRU 13.
Namun umum mengetahui kesan dakwat yang digunakan dalam PRU13 lalu, tidak kekal dan ianya menjadi tanda tanya samada dakwat yang bakal digunakan itu adalah dakwat yang sama atau tidak.
“Sekiranya dakwat yang sama, saya ragui kenapa boleh berbeda begitu.
Akan tetapi jika dakwat baru yang digunakan dalam simulasi ini, adakah dakwat yang sama (yang baru) akan digunakan dalam PRK nanti?,” tanya beliau.
Sambil tidak menafikan kebaikan dakwat kekal seperti yang didakwa oleh SPR dalam simulasi itu, beliau menegaskan jika benar kekal, maka itulah yang sepatutnya fungsi sebenar dakwat kekal agar tidak berlaku pengundian lebih dari sekali.
Satu demonstrasi penggunaan dakwat kekal telah dijalankan oleh SPR hari ini.
Dalam satu kenyataan selepas demonstrasi itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf berkata, suruhanjaya itu mendapati jika dakwat kekal itu dibasuh, warnanya akan muncul semula pada jari.
Seorang wartawan cuba mencuci dakwat tersebut sejam selepas itu, dan mendapati kesannya masih ada walaupun dua kali dibasuh dengan sabun.
Dakwat itu juga didakwa menjadi semakin gelap selepas beberapa ketika.
Tambah Dr Hatta lagi yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai, PAS kali ini bersedia dengan sebarang kemungkinan hasil dari pengalaman dalam PRU13 yang lalu berkaitan dengan dakwat kekal ini.
“Kita telah bersedia (kali ini) sekiranya kita dapati dakwat tersebut tidak kekal, untuk membuat laporan polis dan pihak yang sepatutnya.
Tetapi saya rasa, kerana PRK ini menjadi fokus seluruh negara, maka dia (SPR) pasti akan berusaha mencari jalan agar dakwat yang digunakan kelihatan lebih baik.
Kerana kalau mereka (SPR) gagal sekali lagi maka ini adalah sangat memalukan,” tegas beliau.
Beliau turut menzahirkan kesangsian jika sekiranya pembekal dakwat tersebut masih dari pembekal yang sama.
Beliau khuatir sekiranya dakwat tersebut masih dari pembekal yang sama, maka ianya mungkin terdedah kepada penipuan samada penipuan dari segi perniagaan atau penipuan dalam mendapat pulangan politik.
Dr Hatta ditemui dalam program penerangan kepada pengundi di Bazar Ramadhan Kampung Tok Has petang tadi bersama Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad dan Adun Bukit Payong Ustaz Mohd Nor Hamzah.
Untuk rekod, kerajaan Malaysia masih merahsiakan nama pembekal dakwat kekal untuk PRU13 dan PRK Kuala Besut dan mengambil sikap berdiam diri dengan pendedahan nama pembekal oleh Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan