Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim. - Foto Sinar Harian oleh SAFWAN MANSOR
 
KUALA LUMPUR - Seorang penyokong kerajaan mendakwa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki 20 akaun bank yang berpangkalan di luar negara termasuk Israel dengan jumlah simpanan kira-kira RM332 juta.
  
Liang Teck Meng (BN-Simpang Renggam) mendakwa beliau mendapat maklumat itu daripada laman web Wikileaks.
  
Katanya Anggota Parlimen Permatang Pauh itu dikatakan mempunyai 20 akaun bank dengan jumlah simpanan kira-kira AS$66 juta (RM209 juta) dan SGD$49 juta (RM123 juta) di bank di Amerika Syarikat, China, Singapura dan Israel.
  
"Perkara ini tersebar luas dalam internet, dan apabila saya membaca perkara ini, terlintas dalam kepala ialah dari mana datangnya wang sebanyak ini," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang Di-Pertuan Agong pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
  
Liang berkata setiap akaun itu mempunyai maklumat terperinci seperti nama pemegang, jawatan, nombor pasport, tarikh akaun dibuka dan tarikh matang.
  
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan menyiasat perkara itu kerana ia amat bahaya memandangkan ada akaun berkenaan dibuka di Israel sedangkan Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan negara itu.

Dakwaan itu mengundang tindak balas Tian Chua (PKR-Batu) yang bangun mencelah dan mendesak Liang mengemukakan bukti dan tidak membuat tuduhan melulu sambil menggesa mengemukakan bukti itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan.
  
"...Kita sudah berjuang lebih 15 tahun, satu sen pun tidak dapat...jadi kalau pemimpin kita kaya macam ini, kita juga ingin tahu," katanya.
  
Ini diikuti Jeff Ooi Chuan Aun (DAP-Jelutong) yang turut mendesak Liang mengemukakan bukti dan sekiranya gagal berbuat demikian perlu dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
  
Desakan oleh wakil pembangkang itu mendorong Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) bangun mencelah dan dengan lantang mencabar pembangkang mengambil tindakan undang-undang ke atas WikiLeaks sekiranya maklumat itu adalah palsu.
  
Liang mengakhiri perbahasannya dengan berkata tindakan Anwar memiliki akaun di negara Israel seakan memungkiri janji dan komitmen ketika bersama mengutuk kekejaman tentera Israel ke atas penduduk Gaza tahun lepas.
  
"Tahun lepas, di dewan ini ketika perdana menteri membentangkan usul khas mengutuk serangan Israel ke atas Gaza, Permatang Pauh bersama Pas dan DAP turut mengutuk sama tetapi sebaliknya di belakang mempunyai akaun simpanan di negara berkenaan," katanya.
  
Persidangan bersambung esok. - Bernama