Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengutuk kudeta tentera yang
menggulingkan Presiden Mesir, Dr Mohamed Morsi dan mendakwa ia
menyebabkan kemunduran kepada “Arab Spring”.
Ketua Pembangkang itu, berkata seluruh negara yang mengamal demokrasi mesti mengutuk tindakan tidak demokratik itu.
“Pemimpin yang dipilih secara demokratik melalui pilihan raya bebas dan adil tidak seharusnya digulingkan sebegitu rupa.
“Tidak kira apa pengakhirannya, caranya adalah tidak wajar,” katanya pada kenyataan media lewat petang ini.
PAS hari ini mengutuk penggulingan Mohamed Morsi dan mengecam
tindakan tentera negara itu menggunakan golongan ulama bagi menghalalkan
perbuatan mereka.
Menurut Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, kudeta dan diktator bukan lagi pilihan manusia lagi dalam era sekarang.
“Di mana-mana sahaja, ada ulama dipergunakan untuk menentang gerakan
Islam,” kata Nik Abdul Aziz dalam satu kenyataannya pagi ini.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Abdul Fattah El-Sisi dalam
pengumumannya awal pagi ini turut menamakan Ketua Hakim Mahkamah
Perlembagaan, Adly Mansour sebagai presiden sementara sehingga pilihan
raya baru diadakan.
Menurut Abdul Fatah, Mesir akan ditadbir sebuah kerajaan Teknokrat dengan kuasa penuh sepanjang tempoh peralihan.
Serentak itu, larangan perjalanan dikenakan terhadap Mohamed Morsi
dan pemimpin kanan Ikhwanul Muslimin termasuk ketuanya Mohammed Badie
dan timbalannya Khairat El Shater.
Pengumuman yang dibuat secara langsung melalui televisyen disambut
dengan sorakan kumpulan anti presiden yang baru berkuasa selama setahun
itu.
Mohamed Morsi mula memimpin Mesir selepas Hosni Mubarak digulingkan
pada Februari 2011 selepas berkuasa selama 30 tahun dalam demonstrasi
besar-besaran yang digelar "Arab Spring".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan