Isnin, 10 Jun 2013

Saifuddin jumpa MB Selangor petang ini bincang tanggungjawab

Oleh Masdar Wahid

SHAH ALAM : Datuk Saifuddin Nasution Ismail dijadual bertemu Tan Sri Khalid Ibrahim pada jam 2 petang ini bagi membincangkan berhubung pelantikannya sebagai Pegawai Perhubungan Politik Selangor.
Saifuddin 
“Saya dijadualkan bertemu Tan Sri Khalid pada jam 2 petang Isnin ini dan saya hanya akan komen mengenainya selepas perbincangan itu nanti. Pelantikan ini adalah hak Menteri Besar dan saya mengucapkan terima kasih atas kepercayaan dan keyakinan yang diberi.

“Apa jua tugas dan kewajipan yang diamanahkan kelak, akan saya galas sebaik mungkin dengan penuh tanggungjawab,” katanya kepada Keadilan Daily mengulas pelantikan tersebut.

Pada 5 Jun lalu, Khalid mengesahkan Saifuddin akan dilantik sebagai Pegawai Perhubungan Politik di Pejabat Menteri Besar dengan peranan utama membantu pembangunan masyarakat luar bandar di negeri itu.

Saifuddin merupakan graduan Pengurusan Latihan dari Tamagawa Gakuen, Tokushima Jepun serta graduan Sarjana Sains (Agronomi) dari Universiti Putra Malaysia.

Sebelum menyertai politik, Saifuddin aktif dengan aktiviti kemasyarakatan dan pembangunan sosial di desa dengan menyusun dan menggerakkan pelbagai program yang memanfaatkan golongan itu yang kebanyakannya melibatkan masyarakat Melayu.

Dalam bidang politik, beliau adalah Adun pertama KEADILAN yang memenangi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lunas di Kedah pada tahun 2000.

Semasa menjadi Ahli Parlimen Machang pada penggal lalu, hujah-hujahnya bukan sahaja penuh dengan fakta dan angka, malah setiap kali berbahas pemimpin Umno BN sering gagal berdepan beliau.

Pada 15 Januari 2012, Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah berkenan menganugerahkan Darjah Setia Diraja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran Datuk kepada Setiausaha Agung KEADILAN ini sempena ulang tahun keputeraan baginda yang ke-84 di Istana Anak Bukit, Alor Setar.

Tiada ulasan: