Sabtu, 29 Jun 2013

1Malaysia: Tiada layanan Pusat untuk negeri PR?

Hazayani Zakaria,


KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Takiyuddin Hassan mempersoal konsep 1Malaysia yang didakwa berbeza pendekatan kepada negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Merujuk kepada Kelantan, Takiyuddin berkata pemberian wang ihsan daripada royalti petroleum disalurkan kepada rakyat negeri itu melalui Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP).

Sebaliknya kata beliau, wang ihsan kepada rakyat Negeri Terengganu disalurkan terus kepada kerajaan negeri yang diperintah Kerajaan BN.

"Kita tahu bahawa Gagasan 1Malaysia ini namanya cantik. Mungkin matlamatnya juga baik. Akan tetapi dari segi aplikasinya atau penggunaannya, saya ingin bertanya adakah menjadi satu tata amalan dalam melaksanakan konsep 1Malaysia ini, apabila ia digunakan,penggunaannya dari segi pendekatannya berbeza antara negeri-negeri?

"Wang ihsan kepada Kelantan tidak diberi kepada kerajaan negeri. Diberi kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan yang mana JPP Kelantan ini yang membuat keputusannya dari segi penggunaan wang ihsan, bukan kerajaan negeri.

"Jadi saya hendak mendapatkan penjelasan Yang Berhormat Menteri, adakah ini pendekatan 1Malaysia antara negeri?" soal beliau kepada Menteri Komunikasi Dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rayat kelmarin.

Shabery dalam jawapannya bagaimanapun tidak memberikan jawapan yang tepat kepada soalan tersebut sebaliknya berkata perbezaan pendekatan itu boleh diuruskan.

Beliau menegaskan, rakyat Kelantan tetap mendapat bantuan walaupun bukan secara terus kepada kerajaan negeri.

Shabery juga cuba mengalih tajuk dengan menatakan bahawa Kerajaan Persekutuan memberikan peruntukan yang besar kepada Kelantan.

"Rakyatnya dapat (wang ihsan) cuma tidak setuju kalau tidak melalui kerajaan negeri. Itu boleh diuruskan dalam soal ini. Akan tetapi perlu dilihat banyak lagi perkara lain yang dibuat oleh Kerajaan Pusat (seperti) menyalurkan pelbagai lagi peruntukan dan sebagainya kepada kerajaan negeri.

"Soal air misalnya, soal membayar gaji imam, gaji guru-guru KAFA. Sepatutnya itu adalah urusan agama, urusan negeri tetapi peruntukan yang diberikan oleh Kerajaan Pusat kepada kerajaan negeri begitu besar sekali dan yang terbesarnya ialah di negeri Kelantan. Kalau dibandingkan negeri-negeri lain, Kelantan mendapat peruntukan yang besar," katanya.

Tiada ulasan: