Seorang lelaki yang meminum arak di bulan Ramadan tahun lepas, semalam didenda RM1,500 atau penjara dua bulan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur.

Hakim Syarie Azzeman Omar menjatuhi hukuman itu ke atas Zaibidin Kamsani, 49, selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

"Kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah bercanggah dengan hukum syarak apatah lagi ia dilakukan di dalam bulan Ramadan. Saya harap hukuman ini dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan juga seluruh umat Islam," katanya.

Zaibidin yang bekerja sendiri didakwa meminum minuman yang memabukkan dan tidak menghormati bulan Ramadan di Medan Selera, Jalan Raja Muda Abdul Aziz di ibu negara pada 12.30 tengah hari 8 Ogos 2012.

Dia didakwa mengikut Seksyen 19(1) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, tertuduh didapati melakukan kesalahan itu semasa penguat kuasa agama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjalankan pemeriksaan bulan Ramadan di kawasan itu.

Minuman berkenaan dibungkus dengan plastik dan ketika pemeriksaan, tertuduh juga sedang menghisap rokok.

Terdahulu Pegawai Pendakwa Syarie Faiyzan Ahmad memohon hukuman sewajarnya dan setimpal dengan kesalahan yang dilakukan tertuduh kerana meminum arak adalah perkara yang dilarang oleh Islam dan juga tidak menghormati bulan Ramadan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana dia telah insaf dan bertaubat untuk tidak mengulangi kesalahan itu.-Bernama