Rosnah Abdul Rashid Shirlin
Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin
 
SHAH ALAM - Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dijangka melepaskan jawatan ketua sayap Umno tersebut pada pemilihan parti hujung tahun ini.

Rosnah, yang memegang jawatan tersebut sejak 2008, berbuat demikian kerana usianya sudah melepasi had kelayakan jawatan Puteri Umno yang menetapkan umur antara 18 dan 35 tahun sebagai ahli.

“Saya juga tidak akan bertanding dalam pemilihan Umno kali ini untuk sebarang jawatan kerana saya belum membuat sebarang keputusan,” katanya.

Pemilihan Umno hujung tahun ini dijangka sengit apabila kelayakan bertanding dipermudahkan dan ia terbuka kepada lebih ramai ahli.

Pindaan Perlembagaan Umno pada 2009 menyaksikan jumlah ahli yang boleh mengundi bagi menentukan pucuk pimpinan tertinggi meningkat kepada kira-kira 150,000 orang berbanding hanya sekitar 2,500 orang pada pemilihan sebelum ini.

Mereka juga akan memilih secara langsung pimpinan bahagian masing-masing, sekali gus menghapuskan sistem kuota yang membuka ruang seluas-luasnya kepada ahli untuk bertanding dengan syarat minimum bagi mana-mana jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno iaitu pernah memegang jawatan Ahli MT atau ahli jawatankuasa bahagian selama satu penggal.