Jumaat, 28 Jun 2013

Kehilangan 2 pegawai kanan, EAIC telur di hujung tanduk

Harakahdaily,


KUALA LUMPUR: Selepas pendedahan demi pendedahan, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Nor Afizah Hanum Mokhtar dan pegawai penyiasat kanannya, Nadzri Ibrahim ditukarkan serta merta.

Ekoran itu, EAIC disifatkan umpama telur di hujung tanduk oleh dua anggota Parlimen DAP, Steven Sim Chee Keong (gambar kanan), Ahli Parlimen Bukit Mertajam dan Zairil Khir Johari (gambar kiri), Ahli Parlimen Bukit Bendera dalam kenyataan mereka.

Media melaporkan bahawa Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) Nor Afizah Hanum Mokhtar, telah digugurkan dan ditukar ke agensi lain serta-merta, tanpa sebarang alasan jelas.

Tindakan ini berikutan pengguguran pegawai penyiasat kanan Mohd Nadzri Ibrahim daripada pasukan petugas menyiasat kematian dalam tahanan selepas mereka berdua mendedahkan bahawa beliau terlibat dalam kes Teoh Beng Hock.

Dalam kata lain, dalam masa sesingkat satu minggu, dua orang pegawai kanan EAIC mengalami pertukaran jawatan secara mengejut.

"Bagaimanakah mungkin AEIC melaksanakan tugasnya dengan sempurna dengan pentadbiran caca-merba ini?" kata mereka berdua dalam kenyataannya hari ini.

Jelas, kata mereka, EAIC langsung tidak layak menggunakan perkataan "integriti" pada namanya.

Pegawai-pegawai kanan boleh dilantik, digugur, dinaik jawatan, dan ditukar tanpa sebarang proses yang telus.

"Tindakan ini sudah pasti akan menimbulkan keraguan yang amat sangat terhadap kebebasan dan kecekapan pegawai-pegawai EAIC dalam perlaksanaan tugas mereka. Adakah faktor politik akan mempengaruhi perlaksanaan kerja EAIC?" soal mereka.

Jelas, bagi mereka, EAIC merupakan sandiwara kerajaan pusat untuk mengelak daripada melaksanakan saranan Laporan Tun Dzaidin 2005 iaitu menubuhkan sebuah Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC).

IPCMC akan bertanggungjawab terus kepada Parlimen dan bukan kepada Jabatan Perdana Menteri seperti EAIC pada masa kini.
Segala hal ehwal perlantikan juga akan dilaksanakan secara terbuka dan telus bagi menjamin integriti yang tinggi.

Hal ini adalah kerana IPCMC ialah badan pemantau (watchdog) bagi agensi penguatkuasa, maka kredibiliti badan tersebut mestilah sentiasa terjamin.

"Justeru, pendirian kami tetap sama, iaitu EAIC patut dimansuhkan serta-merta dan digantikan dengan IPCMC demi menjamin professionalisme agensi penguatkuasaan negara kita dan seterusnya menjamin kesejahteraan rakyat Malaysia secara amnya," kata mereka.

Tiada ulasan: