Sabtu, 29 Jun 2013

Borang 14: PAS Bera lapor kepada Pengarah SPR

Khairil Abdul Rahim,


TEMERLOH: PAS Bera membuat laporan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri Pahang berkaitan salah laku ketua tempat mengundi (KTM) yang tidak mengembalikan Borang 14 semasa Pilihan raya Umum (PRU) ke-13 lalu kepada agen PAS.

Dalam aduan tersebut, PAS Bera menyatakan KTM telah menyalahguna kuasa dengan tidak menyerahkan borang laporan mengenai Penyata Keputusan Rasmi itu di N.37 Guai pada 5 Mei yang lalu.

Sebanyak tiga kes berlaku iaitu di Saluran 6 Pusat daerah Mengundi (PDM) Purun, Saluran 5 PDM Kumai dan Saluran 4 PDM Bukit kepayang.

Sedangkan merujuk kepada undang-undang pilihan raya, jika KTM tidak menyerahkan Borang 14, KTM bersalah di bawah Peraturan 25 (12) (b) (ii) PPP dengan hukuman penjara tidka lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000 seperti termaktub dalam Seksyen 4 (g) AKP.

Sementara itu Timbalan Yang Dipertua PAS Bera yang juga calon PAS Guai, Musaniff Abdul Rahman berkata, peruntukan undang-undang tersebut membuktikan kesalahan yang dilakukan KTM adalah serius.

“SPR jangan hanya sebut undang-undang dalam buku tetapi mestilah diamalkan. Ada kemungkinan petugas SPR kurang mendapat latihan cukup sebab ada kes petugas polling agent PAS yang membantu menunjuk ajar KTM.

“Akibat langsung kepada calon jika Borang 14 tidak dikembalikan ialah berkemungkinan keputusan undi boleh diubah. Kecenderungan untuk menukar keputusan itu memang ada apa lagi semuanya berlaku kepada saluran pengundi muda.

“Ini adalah kegagalan dan kesalahan SPR yang cukup serius di peringkat pengundian sebab itu kita laporkan kepada Pengarah SPR negeri supaya jangan berulang lagi,” katanya.

Tiada ulasan: