Ahad, 30 Jun 2013

SPRM perlu panggil Taib Mahmud, bukan hanya siasat fail – Nazib

Azuan Ab Rahman

KUCHING : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu memanggil Tan Sri Abdul Taib Mahmud untuk disoal siasat berhubung kes rasuah dihadapinya dan bukan hanya sekadar menyiasat dokumen, kata Ketua Angkatan Muda KEADILAN Sarawak, Ahmad Nazib Johari.

taib-mahmud

Beliau mengulas kenyataan Penolong Pesuruhjaya Bahagian Siasatan SPRM, Lim Bee Kean bahawa kes itu berpanjangan ekoran jumlah dokumen dan saksi yang banyak untuk diteliti pasukan penyiasat.

“Saya desak SPRM panggil Taib Mahmud untuk disiasat. Beliau adalah saksi utama. Kita tidak hanya mahu fail-fail yang disiasat, tetapi yang paling penting adalah Taib Mahmud sendiri,”

“Apakah negara ini guna dua jenis undang-undang? Jika kes melibatkan rakyat biasa, tidak sampai seminggu sudah dipanggil SPRM, tetapi apakah SPRM berani memanggil Taib Mahmud ?” katanya ketika dihubungi Suara keadilan.

Katanya, beliau sendiri telah membuat banyak laporan terhadap Ketua Menteri Sarawak itu sejak 2010, namun tiada jawapan memuaskan dari SPRM.

“Kita melihat jawapan SPRM ini sebagai satu dolak dalih. Hingga ke hari ini, jawapan yang dberikan cuma sandiwara untuk menutup perkara sebenar dari pengetahuan rakyat,” kata Nazib.

Malaysiakini hari ini melaporkan kenyataan Lim Bee Kean bahawa siasatan itu berpanjangan kerana banyak dokumen dan saksi yang terlibat untuk diteliti.

Siasatan itu dipercayai merujuk skandal rasuah membabitkan ketua menteri paling lama di Malaysia itu termasuk pendedahan video Global Witness tentang pengakuan saudara Taib yang memperoleh tanah dengan cara mudah di Sarawak.

Bercakap di ibu pejabat suruhanjaya itu di Putrajaya hari ini, Bee Kean berkata SPRM meneliti 400 fail dan kenyataan dirakamkan daripada lebih 20 individu yang dipercayai berkaitan kes itu.

Menurut suruhanjaya itu, soal Taib tidak bekerjasama tidak timbul kerana beliau sendiri menafikan pernah menyifatkan SPRM ‘nakal dan tidak jujur’ serta enggan bekerjasama.

Tiada ulasan: