Sabtu, 29 Jun 2013

Karpal: SPR perlu hapuskan jumlah kerusi dewan negeri yang sama banyak

THE MALAYSIAN INSIDER
 
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu menghapuskan bilangan kerusi dewan undangan negeri (DUN) yang sama banyak di lapan negeri bagi mengelakkan dewan negeri berkeadaan tergantung, kata Pengerusi DAP Karpal Singh (gambar).


Beliau berkata usaha mengadakan persempadanan yang akan dijalankan SPR tahun ini perlu mengambil kira kelemahan mempunyai dewan undangan negeri dengan jumlah kerusi yang sama banyak.

"SPR perlu meningkatkan sekurang-kurangnya satu kerusi negeri di negeri-negeri yang mempunyai jumlah kerusi yang sama banyak," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai pilihan raya kecil bagi kerusi DUN Kuala Besut di Terengganu berikutan kematian anggota Dewan Undangan Negeri Dr A.Rahman Mokhtar, 55, pada Selasa lalu.

Kematiannya menyebabkan BN kini hanya menguasai 16 daripada 17 kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya umum 5 Mei lalu manakala Pakatan Rakyat menguasai 15 kerusi (PAS 14 PKR satu).

"Pilihan raya kecil ini sangat signifikan kerana jika PAS menang Kuala Besut, ia akan menjadi seri (16-16)," katanya.

Katanya dewan undangan negeri-negeri yang lain dengan jumlah kerusi sama banyak ialah Pulau Pinang (40), Kedah (36), Pahang (42), Selangor (56), Negeri Sembilan (36), Melaka (28), Johor (56) dan Sabah (60).

Karpal berkata sesebuah dewan undangan negeri yang tergantung boleh membawa kepada satu pilihan raya yang baharu dan perbelanjaannya akan ditanggung dengan wang para pembayar cukai. - Bernama,

Tiada ulasan: