Sabtu, 11 Ogos 2012

YBUDR: Zambry sengaja buat tak faham

Faeez Azahar,
 
IPOH: PAS Perak menyifatkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Kadir sengaja buat-buat tidak faham saranan agar kewangan Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBUDR) diperlihatkan kepada seluruh rakyat.

Koordinator Strategik dan Isu PAS Perak, Salman Saleh berkata, ianya penting demi ketelusan pengurusan sekaligus dapat membendung salahguna peruntukan yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri Perak kepada YBUDR selama ini.

Menurutnya, jika kepimpinan Dr Zambry bersih dan telus, mengapa takut untuk memastikan ketelusan kewangan YBUDR dipaparkan setidak-tidaknya di dalam laman web rasmi sepertimana dilakukan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Negeri Perak (MAIAMPk) kini.

Menurutnya, sebelum daripada Datuk Zainal Abidin Omar memegang jawatan Ketua Eksekutif YBUDR, telah ada desakan agar Khairul Azwan Harun yang juga Ketua Pergerakan Pemuda Umno Negeri Perak yang menyandangnya ketika itu agar digantikan.

Dan dalam masa yang sama katanya, Khairul Azwan masih sebagai Timbalan Ketua Eksekutif YBUDR dan juga sebagai nakhoda kepada anak syarikat YBDUR iaitu YBU Holding Sdn. Bhd. dan ini amat mencurigakan.

“Atas beberapa faktor inilah kami lihat ketelusan kewangan YBUDR perlu dilihat telus malah mesti dilihat lebih telus kerana jutaan ringgit disalurkan oleh kerajaan negeri kepada YBUDR sebagai salah satu institusi milik kerajaan negeri yang paling banyak diberikan peruntukan saban tahun.

“Kami sifatkan Datuk Seri Zambry tiada ketelusan dan integriti jika masih lagi menyembunyikan kebenaran kerana tiada apa yang perlu ditakuti jika tidak melakukan apa-apa kesalahan,” katanya kepada Harakahdaily.

Mengulas lanjut, Salman berkata, Dr Zambry juga pernah dicabar agar mengikut jejak langkah Kerajaan Negeri Selangor supaya semua EXCO Kerajaan Negeri mengisytiharkan harta dan dipamerkan di dalam laman web rasmi kerajaan negeri namun hanya memberikan pelbagai alasan sahaja tetapi tidak mahu melaksanakannya.

“Bagi kami, jika sesuatu perkara itu baik dan menunjukkan ketelusan wajarlah Dr Zambry sebagai ketua sebuah kerajaan melakukannya demi kepentingan rakyat,” ujarnya.

Dalam akhbar Sinar Harian hari ini, Dr Zambry menyifatkan PAS Perak bersifat iri hati dengan kejayaan yayasan tersebut.

Menurutnya Adun Pangkor itu, YBU telah selesaikan banyak masalah kemiskinan rakyat di Perak melalui mikro kredit, bantuan rumah dan sebagainya.

Tiada ulasan: