Khamis, 9 Ogos 2012

Tema Merdeka: Pulau Pinang ikut keputusan PR

JAMILAH HAMZAH

Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman
Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman
 
 
SHAH ALAM - Kerajaan Pulau Pinang yang semalam mengumumkan akan menggunakan tema sendiri menyambut Hari Kemerdekaan tahun ini, hari ini berkata akan akur dengan keputusan kepimpinan Pakatan Rakyat (PR).

Dalam satu kenyataan media dikeluarkan hari ini, Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman berkata, pihaknya akan menggunakan tema Sebangsa Senegara Sejiwa.

Mansor yang juga Naib Presiden PKR memberitahu, keputusan yang diambil itu membuktikan PR sepakat dalam melakukan sesuatu perkara dan bukannya wujud ketidaksefahaman dalam parti.

"Pulau Pinang seperti negeri PR lain sentiasa mendokong semangat kesetiakawan dan menghormati persetujuan bersama kepimpinan PR.

"Ini terbukti tohmahan yang mengatakan PR tak sependapat meleset sama sekali," katanya menerusi laman Facebooknya hari ini.

Majlis Presiden PR akan mengadakan mesyuarat hari ini dan dijangka mengumumkan pendirian terakhir berhubung tema Hari Kemerdekaan sekitar tengah hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Kedah bersetuju untuk bersama-sama menggunakan tema Sebangsa Senegara Sejiwa.

Beliau berkata, pada awalnya keputusan menggunakan tema berbeza atas dasar menghormati negeri-negeri yang telah menetapkan tema masing-masing.

“Sebelum ini, hanya Pulau Pinang dan Selangor akan menggunakan tema Sebangsa, Senegara, Sejiwa. Exco negeri Kedah dan Kelantan memutuskan tema masing-masing sebelum PR  membuat keputusan untuk menggunakan tema itu.

“Bagaimanapun Kedah dan Kelantan yang menggunakan tema berbeza akhirnya sepakat menggunakan tema yang sama,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Laporan media semalam memetik Mansor berkata Pulau Pinang akan menggunakan temanya sendiri Budaya Bersih Merdekakan Rakyat sebagai tema sambutan hari ulang tahun kemerdekaan kali ini.

Menurut Mansor, pihaknya mendapati tema itu lebih konsisten dengan matlamat dan hasrat Kerajaan Negeri untuk melaksanakan pentadbiran yang bersih.

“Tema ini juga menunjukkan Pulau Pinang mengamalkan kehidupan lebih bersih, hijau, selamat dan sihat serta mengamalkan sikap mesra rakyat dalam pentadbiran demokrasi,” katanya.

Jelas Mansor, Merdekakan Rakyat merujuk kepada kehidupan rakyat di Pulau Pinang yang bebas daripada belenggu rasuah di bawah Kerajaan CAT (cekap, akauntabiliti dan telus).

Tiada ulasan: