Khamis, 9 Ogos 2012

SPRM didesak siasat skandal rasuah Awang Adek

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didesak menyiasat laporan terhadap  Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin yang didakwa menerima rasuah RM80,000.

Laporan oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPMM) itu dibuat di ibu pejabat SPRM di Putrajaya semalam berikutan tiada penjelasan daripada Awang Adek.

“Kita mahu tahu wang RM80,000 tersebut untuk apa dan sekiranya bukti yang ada pada kami ini tidak benar, beliau perlu tampil menafikannya. Bila kita beri tempoh seminggu, beliau masih mendiamkan diri.

“Jika memang berlaku skandal rasuah, beliau perlu dihadapkan ke muka pengadilan. Kami percaya dengan integriti SPRM untuk menguruskan siasatan ini. Kami dari masa ke semasa akan berhubung dengan pihak SPRM sebagai satu ‘follow up,” kata Setiausaha DPMM, Khairil Faizi dalam kenyataan.

Dalam laporan itu, DPPM mendakwa Awang Adek menerima dua cek bernilai RM30,000 dan RM50,000 daripada Advance Maintenance Precision Management (AMPM) Sdn Bhd bertarikh 6 Disember 2010.

Pada hari yang sama, AMPM menulis surat kepada Awang Adek selaku Pengerusi Jawatankuasa Kerja Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJB) untuk melanjutkan kontrak penyelenggaraan JB Sentral dan Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bharu.

Cek itu kemudiaannya ditunaikan pada tarikh yang sama dan terdapat kemasukan tunai sebanyak RM80,000 ke dalam akaun CIMB Awang Adek.

Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif SJJB kali ke-11 pada 25 Ogos tahun lalu, meluluskan tempoh kontrak sedia ada untuk tempoh lima tahun dengan opsyen tambahan lima tahun lagi selepas tempoh kontrak sedia ada tersebut tamat.

Awang Adek sebelum ini seperti yang didedahkan oleh Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail terlibat dalam salah laku semasa beliau menjadi Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM).

Tiada ulasan: