Isnin, 6 Ogos 2012

Selangor bertegas ambil alih Syabas


Oleh Norutul Ilham


KUALA LUMPUR : Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim bertegas akan melaksanakan perancangan negeri itu untuk mengambil alih Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Menurutnya, walaupun tindakan tersebut mendapat tentangan hebat daripada Kerajaan Pusat, namun usaha kerajaan negeri itu amat penting bagi memastikan rakyat tidak membayar harga tinggi untuk bekalan air terawat .

“Kita tetap meneruskan hasrat mengambil alih Syabas kerana kita tidak mahu membayar harga yang lebih tinggi daripada sekarang.

“Ini yang kita janjikan kepada rakyat, untuk meneruskan usaha membetulkan perkara yang tidak betul,” katanya semasa majlis berbuka puasa bersama media di Hotel Holiday Villa, Subang Jumaat lalu.

Tambah beliau, sikap berkeras Kerajaan Pusat itu sebenarnya bercanggah dengan Akta Industri Pembekalan Air 2006.

“Kita juga boleh pergi ke mahkamah untuk menunjukkan bahawa tindakan Kerajaan Persekutuan ini tidak sama dengan undang-undang yang diluluskan pada tahun 2006,” katanya.

Tiada ulasan: