Khamis, 23 Ogos 2012

PKR: Umno, BN semakin tak menentu

MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI

Menjelang PRU 13
Menjelang PRU 13 
 
ALOR SETAR - Kecelaruan pendapat antara pimpinan MCA negeri Kedah dan Selangor berhubung perlaksanaan hukum hudud membuktikan bahawa Barisan Nasional semakin tidak menentu.

Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR, Ahmad Kassim berkata, kecelaruan pendapat yang berlaku itu menggambarkan bahawa tiada kesepakatan antara parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk membuat keputusan.

Ahmad berkata, perpecahan pendapat antara dua pimpinan MCA negeri menunjukkan parti komponen itu sudah tidak konsisten lagi dengan pentadbiran BN.

Katanya, cubaan BN memainkan isu perlaksanaan hukum hudud juga tidak memberi kesan kepada Pakatan Rakyat (PR), sebaliknya memberi semangat dan suntikan baru kepada barisan pimpinan dalam menarik sokongan rakyat.

“Tujuan BN mengenakan isu perlaksanaan hukum hudud terhadap Pas adalah cubaan untuk memecahbelahkan PR.

“Walaubagaimanapun, PR akan sentiasa terus bersama berjuang untuk merampas Putrajaya dalam pilihan raya umum ke-13 (PRU-13),” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, Umno dan BN menggesa Pas keluar PR adalah kerana mereka takut gelombang besar PR yang bakal menenggelamkan mereka semasa PRU-13 nanti.

“PRU-13 nanti adalah perlawanan sebenar, satu lawan satu,” katanya.

Ahmad Kassim berkata, seluruh ahli serta pimpinan PR sentiasa bersama walaupun berbeza pandangan dan pendapat dalam sesuatu perkara.

Katanya, perlaksanaan hukum hudud bukan sesuatu yang mudah di negara ini. Sebaliknya harus memandang aspek perlembagaan negara, agama serta politik.

“PR perlu memenangi dua pertiga kerusi parlimen sebelum membolehkan perlembagaan dipinda selaras dengan hukum syarak.

“Bagaimanapun, sekiranya satu pertiga selebihnya dimenangi oleh orang bukan beragama Islam, ia sukar bagi PR untuk melaksanakan hukum hudud.

“Dalam situasi ini, semua kerusi parlimen harus dimenangi oleh orang Islam untuk memudahkan perlaksanaannya,” katanya.

Ujarnya lagi, setiap umat Islam tidak harus berganjak daripada bersetuju mengenai perlaksanaan hukum hudud kerana ia merupakan sebahagian daripada undang-undang Islam.

Tiada ulasan: