Khamis, 16 Ogos 2012

PKR lancar kempen Turunkan Harga Kereta


NIK NAZMI NIK AHMAD & SIM TZE TZIN

PKR lancar kempen Turunkan Harga Kereta
Turunkan Harga Kereta
 
 
KEMPEN Turunkan Harga Kereta akan mengambil kesempatan cuti balik kampung sempena Hari Raya Aidilfitri agar maklumat mengenai cadangan PKR menurunkan harga kereta melalui penghapusan cukai eksais secara berperingkat akan sampai ke seluruh pelosok negara.

Bagi tujuan ini, PKR telah mencetak 50,000 pelekat kereta “Turunkan Harga Kereta” yang akan diagihkan mulai hari ini di sekitar Lembah Klang dahulu. Pelekat ini akan diagihkan di tol-tol oleh wakil rakyat dan petugas-petugas PKR. Selepas cuti Hari Raya Aidilfitri, pelekat kereta ini akan dicetak dan diagihkan ke seluruh negara melalui pejabat-pejabat PKR setempat.

PKR juga melancarkan laman Facebook Turunkan Harga Kereta di alamat facebook.com/turunkanhargakereta.

Kami menyeru seberapa ramai rakyat menyokong laman ini dan menyebarkan logo “Turunkan Harga Kereta”.

Selain dari pelekat kereta, PKR juga telah mengubahsuai sebuah kereta Proton Tiara berusia 15 tahun menjadi kereta rasmi kempen. Kereta ini akan dilancarkan hari ini oleh Zuraida Kamaruddin yang mendermakan kereta ini bagi tujuan kempen.

Bermula 24 Ogos 2012, pasukan “Turunkan Harga Kereta” dari PKR akan mula menjelajah tempat-tempat terpilih di Lembah Klang dan seluruh negara sebagai sebahagian dari Jelajah Turunkan Harga Kereta. Selain mengedarkan risalah dan pelekat kereta kempen di tempat-tempat ini, pimpinan PKR akan turut sama menaiki kereta rasmi ini dan menyampaikan penerangan kaedah menurunkan harga kereta yang dicadangkan PKR.

PKR juga akan mengadakan forum “Turunkan Harga Kereta” yang melibatkan pimpinan Pakatan Rakyat di Lembah Klang, Pulau Pinang, Ipoh, Johor Bharu, Alor Setar, Kota Kinabalu dan Kuching bermula 2 September 2012 untuk menerangkan dengan lebih terperinci mekanisme menurunkan harga kereta. Maklumat lanjut bagi setiap forum akan diumumkan dari semasa ke semasa di laman Facebook kempen.

PKR yakin desakan menurunkan harga kereta adalah satu tuntutan yang disokong sebahagian besar rakyat Malaysia.

Logo kempen yang dipilih dipastikan tidak melambangkan unsur politik supaya semua rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang dan kepercayaan politik boleh bersatu dan bersetuju bahawa masanya telah tiba untuk memastikan harga kereta di Malaysia tidak membebankan rakyat.

Kami menyeru semua rakyat Malaysia membantu promosi kempen ini dengan menghiasi laman Facebook dan Twitter mereka dengan logo “Turunkan Harga Kereta” bermula hari ini.

* Nik Nazmi Nik Ahmad, Pengarah Komunikasi dan Sim Tze Tzin, Timbalan Ketua Penerangan PKR

Tiada ulasan: