Rabu, 8 Ogos 2012

Petroleum Kelantan: Antara royalti dan realiti

Roketkini.com


Bagai sirih pulang ke gagang. Setelah bertungkus lumus menuntut royalti ke atas petroleum, akhirnya perjuangan kerajaan negeri Pakatan Rakyat Kelantan memperlihatkan hasil yang positif. Hak rakyat pulang kepada rakyat. Kelantan dikhabarkan bakal menikmati royalti minyak yang sebelum ini disekat sejak lebih lebih 20 tahun.

Dulu BN bukan main sombong pertahan minyak Kelantan kononnya hak pusat. Sekarang nada mereka lembut bersopan. Baguslah kalau hak rakyat nak dikembalikan pada rakyat.

“Wah, ini sudah bagus, Najib nak bagi royalti minyak Kelantan. Janganlah bising-bising lagi,” kata seorang teman kepada saya.
“Tapi siapa Najib? Minyak tu kan hak milik negeri. Sepatutnya dapat lama dah…” sambut saya.

Walaupun dulu Pengerusi BN Kelantan Datuk Mustapa Mohamed pernah berkata bahawa Kelantan tidak berhak mendapat royalti petroleum sekiranya berada di luar kawasan, kini nadanya berubah, sama seperti bosnya, Najib Razak yang ke hulu hilir memujuk orang mengundi BN.

Dek kerana bahang pilihanraya umum ke-13 semakin hampir, timbul beberapa persoalan. Adakah keputusan kerajaan persekutuan ini benar-benar jujur atau sekadar modal kempen pilihanraya? Mengapa baru sekarang kerajaan persekutuan membuat keputusan ini? Memanglah tak elok bersangka buruk, tapi soalnya siapa yang mempunyai rekod buruk selama ini?

Sinar harapan vs harapan samar?

Bagi mencapai hasrat tersebut, kerajaan persekutuan BN telah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa Khas untuk buat kajian berhubung isu bayaran tunai daripada hasil petroleum kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

Akan tetapi, menurut Pengerusi Jawatankuasa Khas Tuntutan Royalti Petroleum Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Husam Musa, wujud beberapa perkara yang menjadi kesamaran.

“Ketika ia seakan membawa satu sinar harapan, keadaan sebenar hanya akan ditentukan enam bulan dari sekarang. Sekarang bulan Ogos, jika pilihan raya diadakan dalam tempoh sebelum jawantakuasa ini membuat laporan, kemudian menunggu pertimbangan kabinet atas cadangan jawatankuasa ini, keputusannya boleh menjadi seribu kemungkinan,” katanya.

Dan paling perkara yang tidak menyenangkan tambah Husam lagi, Kerajaan Pusat akan membuat pembayaran wang ihsan dari hasil pengeluaran petroleum Kelantan di luar 3 batu nautikal melalui Jawatankuasa Pembangunan Persekutuan (JPP). Siapa JPP ini? Mengapa tidak diserahkan sahaja kepada yang empunya tubuh, yakni kerajaan negeriu Kelantan?

Husam yang juga salah seorang Exco Kerajaan Negeri kelantan turut melahirkan kehairanan bagaimana boleh  Kerajaan Pusat mencapai persetujuan dengan Kerajaan Terengganu dalam tempoh usaha penubuhan Jawatankuasa Khas ini, malah Terengganu telah dibayar dengan bayaran tunai walaupun pengeluaran petroleum di Terengganu juga berada di luar kawasan 3 batu nautikal.

“Kenapa tuntutan Kelantan tidak mengguna pakai penyelesaian dengan Terengganu sahaja?” soal Husam, mengingatkan tentang Terengganu yang kini diperintah oleh UMNO-BN.

Kerajaan persekutuan BN pernah ‘buli’ kerajaan PAS Terengganu

Kita masih ingat lagi bagaimana negeri Terengganu di bawah kepimpinan Presiden PAS Tuan Guru Datuk Seri Hadi Awang ‘dibuli’ oleh kerajaan persekutuan BN. Memang sangat tak berhati perut.

Royalti negeri Terengganu ketika itu ditarik dan digantikan dengan ‘wang ihsan’. Jelas dari perkara tersebut, kita serba maklum perangai jijik UMNO-BN.

Kokokan UMNO-BN yang kata nak bela Melayu, konon pertahankan hak Melayu, tapi mereka juga yang rompak harta ‘Melayu’ di Terengganu dan Kelantan. Itu tak termasuk duit poket kita semua yang dicukai.

Tak selesai lagi ‘isu lembu Shahrizat’ dan NFC, PKFZ, Langat 2 dan LRT Ampang, keluar pula cerita royalti. Ibarat gali lubang tutup lubanglah.

Royalti minyak bukan isu Kelantan sahaja 

Memetik laporan Bernama baru-baru ini, Najib menegaskan bahawa kerajaan pusat sememangnya berlaku adil dan telus dengan tidak memilih “bulu” dan membezakan fahaman politik, dalam memenuhi kepentingan rakyat. Betul ke?

Bab isu royalti minyak ini bukan sekadar di Kelantan dan Terengganu sahaja, lihatlah di Sabah sendiri. Walaupun kaya dengan hasil bumi, mengikut data perangkaan, negeri yang diterajui BN tersebut merupakan negeri paling miskin di Malaysia.

Pelik wal ajaibnya, sudah lebih dua dekad Kelantan di anak tiri gara-gara rakyatnya memilih PAS untuk menerajui pentadbiran negeri. Tak ke pilih “bulu” namanya tu.

Diskriminasi BN terhadap Kelantan

Jangan tak tahu. Daripada kutipan dan laporan oleh mereka yang prihatin dengan nasib ranak negeri Kelantan, berikut adalah antara diskriminasi kerajaan persekutuan BN ke atas kerajaan Kelantan pimpinan PAS:

1-Penubuhan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) yang mengganggu sistem pentadbiran negeri sejak 1990 dimana ia mewujudkan dualisme dalam pentadbiran negeri seperti wujudnya dua penghulu dalam satu-satu jajahan.

2- Menteri Besar tidak lagi dilantik menjadi Pengarah Keselamatan Negeri Kelantan dan beliau digantikan dengan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri.

3- Baja subsidi tidak lagi diberikan secara menyeluruh oleh Kerajaan Persekutuan kepada rakyat Kelantan yang bekerja sebagai petani tetapi hanya diberi kepada mereka yang mendapat sokongan dari JPP dari kalangan penyokong UMNO-BN.

4- Menteri Besar dikatakan tidak lagi dijemput dalam mesyuarat-mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri yang sudah menjadi Kelab MB BN, sebaliknya digantikan dengan wakil UMNO yang kalah dalam pilihanraya.

5- Geran Persekutuan dalam bentuk capitation grant, federal road grant, growth grant, dalam bentuk geran keseimbangan dan lain-lain diberi lewat. Ia menyebabkan Kelantan lewat menerima bayaran sehingga dibawa ke tahun berikutnya sedangkan di negeri-negeri lain ada yang dibayar tiap-tiap bulan dan ada yang dibayar pada bulan Januari dan Jun.

6-Peruntukan geran rumah awam kos rendah sebanyak RM12 juta yang telah dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan melalui pihak Perbadanan Kemajuan Iktisas Negeri Kelantan telah ditarik balik sebaik sahaja PAS berjaya mengambil alih pentadbiran Kelantan.

7-Permohonan Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Datuk Nik Aziz sejak tahun 1991untuk mewujudkan pelabuhan di Kelantan tidak dilayan oleh Perdana Menteri yang ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad sehinggalah sekarang. (Di Pulau Pinang sekarang, BN mahu swastakan pelabuhan negeri kepada kroninya)

8- Royalti petroleum kepada kerajaan Kelantan terus dinafikan sehingga kerajaan Kelantan terpaksa membawanya ke mahkamah untuk mendapatkan royalti minyak dan gas yang mana merupakan hak rakyat negeri Kelantan.

9- Wakil kerajaan negeri untuk berada di dalam Lembaga Pengarah KESEDAR tidak lagi dari kerajaan negeri, tetapi dilantik oleh kerajaan persekutuan.
10-Pengambilan peneroka untuk menduduki Felda dihentikan. Kerajaan persekutuan memajukan sendiri dan mengambil keuntungan dari ladang Felda Plantation walhal tanah Felda diberikan oleh kerajaan negeri untuk dimajukan, dibangunkan dan menempatkan peneroka.

11-Pentadbiran Majlis Sukan Negeri Kelantan, turut mendapat tempias,sehingga telah menyebabkan arena sukan negeri mempunyai dua identity berbeza dengan negeri-negeri lain.

12- Kementerian Pelancongan telah melantik agensi lain untuk mengendalikan urusan pelancongan di Kelantan sedangkan kerajaan negeri mempunyai Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) sendiri di bawah Exco yang menjaga Portfolio Pelancongan dan ada pegawai kerajaan yang ditugaskan menjadi pengarahnya.


13- Majlis Persidangan Speaker-Speaker Malaysia yang dipengerusikan oleh Speaker Dewan Rakyat sudah tidak diadakan lagi, sejak PRU tahun 2008 lalu.

Tak cukup ditekan, fitnah juga dilemparkan

Ini baru sebahagian dari diskriminasi yang dilakukan kerajaan pusat BN terhadap kerajaan negeri Kelantan di bawah pentadbiran PAS. Ia tidak termasuk lagi tohmah dan fitnah yang dilontarkan terhadap pentadbiran Kelantan oleh media arus perdana milik mereka.

Kesediaan kerajaan persekutuan untuk membincangkan isu royalti minyak Kelantan menunjukkan usaha gigih kerajaan negeri dan gerakan NGO rakyat Kelantan semakin membuahkan hasil.

Ia tidak lain menunjukkan kerajaan UMNO-BN yang dikepalai Najib semakin terdesak sehingga dilihat seolah-olah sanggup melakukan apa sahaja untuk memenangi semula hati pengundi dan rakyat.

Walaubagaimanapun, dengan rekod pentadbiran yang jelik dicemari rasuah dan salah guna kuasa yang melampau, rakyat semakin bijak menilai. Apatah lagi laungan Program Tranformasi Kerajaan yang dilaungkan Najib semakin menampakkan cacat cela.

“Mari kita tengok siapa yang akan kena…” – Roketkini.com

Tiada ulasan: