Rabu, 1 Ogos 2012

Pertama kali tema Hari Merdeka jadi perdebatan

Harakahdaily,
KUALA LUMPUR: Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras) Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, 55 tahun adalah umur yang memerlukan seseorang itu menjadi sangat matang dan boleh membuat anjakan yang besar dalam kehidupan.
Baginya, tema Hari Kemerdekaan ke-55 tahun ini mempunyai signiikan yang tersendiri.

Ini, katanya adalah kerana umur lebih setengah abad memerlukan negara menilai dengan jujur apa yang telah dicapai dan apa kelemahan yang masih belum dapat diatasi.

“Teras tergerak untuk memberi komen kepada tema kemerdekaan kali ini ialah kerana ia telah menimbulkan perdebatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, sementara ada yang cuba mempertahan tema yang asal iaitu ‘Janji Ditepati’ ramai yang berpandangan tema itu adalah lanjutan dari tema Barisan Nasional yang kini giat mempopularkan mesej bahawa kerajaan telah menunaikan janji dan dengan itu harus dibekalkan berkuasa.

Akan tetapi, ujarnya bukankah kermerdekaan adalah persoalan yang berkait dengan perjuangan dan partisipasi rakyat serta soal kedaulatan.


“Tidakkah kemerdekaan ialah persoalan menjadikan negara dan seluruh rakyat sebagai entiti yang satu,  yang tidak boleh dipisah kerana tanpa negara tiada rakyat dan tanpa rakyat tiada negara?” tanya Azmi.

Lantaran itu, kata beliau kemerdekaan semestinya membawa mesej kesatuan dalam perbedaan darjat, pemikiran serta warna kulit dan kaum dikalangan seluruh rakyat.

Menurutnya lagi, apabila tema kemerdekaan tidak membawa pengertian asasi untuk menyuburkan rasa kebanggaan terhadap kedaulatan negara, maka sambutannya sendiri akan hilang erti.

Mohd Azmi berkata, untuk menyambutnya dengan membawa agenda sebuah parti politik maka kemerdekaan bukan lagi suatu penyatuan malah telah menjadi penyebab kepada perpecahan.

Justeru, katanya kemerdekaan yang disorot hanya dari kacamata sebuah parti politik tidak akan membawa kesan kebersamaan malah boleh menimbulkan perpecahan dan saling mencurigai.

“Cukuplah pelbagai program kemerdekaan yang dilakukan selama ini oleh Kerajaan yang sering menonjolkan hanya acara perarakan dan acara hiburan , kini Teras mengesa agar sambutan dilaksanakan dengan tema yang lebih serius dan membayangkan pengertian kebersamaan rakyat dari semua golongan sebagai penyumbang kepada kemerdekaan,” ujarnya.

Penekanan betapa harga kemerdekaan adalah terlalu mahal  untuk dibiar digadai oleh pihak tertentu yang mahu meraih kekayaan dan membolot kekuasaan, maka mesej kemerdekaan harus menanam semangat pengorbanan dan rasa maruah yang tinggi untuk negara dan rakyat.

Katanya, rakyat perlu diingatkan  pelbagai cabaran dari dalam dan luar yang boleh sahaja menghancurkan kemerdekaan yang dibina oleh golongan terdahulu.

Beliau menambah, Teras kecewa apabila tema kemerdekaan tiba-tiba dicadangkan bernuansa agenda parti politik bukan kepada mesej yang mendalam yang mahu disuburkan dikalangan rakyat.

“Sebab inilah kali pertama tema kemerdekaan dijadi perdebatan kerana ia tidak berdasarkan kesatuan tetapi hanya mahu menonjolkan mesej sebuah parti politik,” katanya.

Tiada ulasan: