Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Supt P.R. Gunarajan berkata, dalam kejadian antara jam 12 tengah malam hingga 4 pagi tadi, penjenayah memecah masuk kedai emas tersebut melalui pintu belakang kedai andaman yang menghubungkan tiga lagi kedai bersebelahan menggunakan pemotong besi.
Beliau memberitahu pemberita, pemeriksaan polis mendapati suspek kemudiannya memecahkan papan lapis yang berfungsi sebagai dinding pemisah antara keempat-empat kedai berkenaan untuk ke kedai emas tersebut.
Beliau berkata, perompak kemudiannya menebuk lubang pada peti besi empat tingkat yang menyimpan barang kemas kira-kira 15 dulang serta wang tunai berjumlah RM10,000.
Bagaimanapun katanya, perompak tersebut hanya dapat melarikan barang kemas di tingkat pertama peti besi itu yang dianggarkan bernilai kira-kira RM350,000.
Gunarajan berkata perompak tersebut, dipercayai lebih daripada dua orang, juga melarikan perakam kamera litar tertutup yang dipasang di kedai emas itu.
Sementara itu pemilik kedai emas tersebut, Tan Teng Leong, 50, berkata, dia dimaklumkan berita rompakan tersebut melalui panggilan telefon dari pemilik bangunan yang disewanya kira-kira jam 8 pagi.
Beliau berkata, pada awalnya dia tidak menyangka kedainya dirompak kerana menyangka hanya kedai andaman itu dipecah masuk.
"Saya berasa amat terkejut apabila tiba di kedai dan melihat kedai dipecah masuk. Ini kali pertama berlaku sepanjang tujuh tahun saya berniaga di sini," katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan