Khamis, 2 Ogos 2012

Pembangkang mahu RCI projek sambungan LRT

 
Aidila Razak
 
PKR hari ini menuntut penubuhan sebuah suruhanjaya diraja (RCI) untuk menyiasat penganugerahan projek sambungan LRT Ampang bernilai RM1.1 bilion kepada George Kent-Lion Pacific Consortium.

Pengarah strateginya Rafizi Ramli berkata, langkah itu perlu kerana perdana menteri enggan menjawab atau menafikan dakwaan campur tangan dalam proses bidaan yang supaya memihak kepada "sekutu rapatnya".

NONERafizi berkata, perkara itu diburukkan lagi apabila beliau didakwa bawah Akta Institusi Perbankan dan Kewangan (Bafia) 1986 semalam untuk perkara tidak berkaitan.

Beliau mendakwa, masa beliau didakwa - dalam tempoh 24 jam selepas penganugerahan projek itu diumumkan - mencadangkan bahawa pendakwaan terhadapnya dibuat ekoran dakwaan terhadap perdana menteri.

Jika ini benar, kata Rafizi lagi, ini bermakna Datuk Seri Najib Razak menyalahgunakan institusi kerajaan seperti Pejabat Peguam Negara, Bank Negara dan pihak polis.

Rafizi semalam ditangkap dan didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana mendedahkan akaun kewangan berkaitan National Feedlot Corporation (NFC) dan pengerusinya sebelum dibebaskan dengan ikat jamin.

Beliau didakwa bawah Seksyen 97 Bafia yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tiga tahun atau denda RM3 juta.

Tiada ulasan: